Pengerusi KTMB pun jadilah jika …..

Pengerusi KTMB pun jadilah jika …..

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada masa terdekat berhubung cadangan pelantikan bekas menteri besar Perak itu sebagai pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Ahmad Faizal yang juga ahli parlimen Tambun berkata beliau secara peribadi ingin lebih fokus menjalankan kerja-kerja berkaitan politik terutamanya Bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya mendapat laporan nama saya akan dicadangkan tetapi masih belum dibincangkan dengan perdana menteri… bagaimanapun sekiranya perkara ini diminta oleh perdana menteri sebagai satu perkara perlu saya lakukan demi rakyat saya akan terima, namun saya berharap dapat fokus dalam kerja-kerja politik,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri program perasmian Pusat Perkhidmatan Parti Gerakan Ipoh yang pertama dengan bendera Perikatan Nasional (PN) di Ipoh.

Turut hadir Presiden Gerakan Dr Dominic Lau.

Ahmad Faizal turut berterima kasih dan menyatakan penghargaan atas pencalonan namanya sebagai Pengerusi KTMB yang disifatkannya sebagai satu tanggungjawab mencabar untuk digalas terutamanya KTMB yang mengalami kerugian susulan penularan wabak Covid-19.

Portal tempatan melaporkan pelantikan Ahmad Faizal sebagai pengerusi KTMB dijangka berkuat kuasa bulan depan menggantikan bagi Rameli Musa yang dilantik bagi jawatan itu pada Feb 2019.

Kontrak Rameli akan berakhir pada hujung bulan ini.

Sementara itu Ahmad Faizal mengesahkan tiada perbincangan mengenai pengagihan kerusi di antara Bersatu bersama Umno untuk menghadapi PRU ke-15 setakat ini.

Dia turut menyangkal dakwaan Bersatu ingin mengaut kerusi yang banyak berikutan tiada sebarang perbincangan dimulakan bersama Umno dan pihaknya sedia mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan.

“Saya fikir semua parti dalam kerajaan PN berhak menyatakan minat mereka untuk bertanding mana-mana kerusi dan sukacita saya memaklumkan saya diamanahkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin untuk mengetuai perbincangan kerusi dengan parti lain,” katanya.

Berita penuh : https://perakinsights.com/2021/02/26/peja-ucap-terima-kasih-atas-pencalonan-sebagai-pengerusi-ktmb/