Pengarah syarikat forex ditangkap

Seorang pengarah sebuah syarikat pelaburan mata wang asing (forex) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM470,000, tahun lalu.

Tertuduh, Norman Zakaria, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah syarikat Essence Pro Services didakwa memindahkan wang berjumlah RM470,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari sebuah akaun milik syarikat itu kepada akaun sebuah syarikat lain.

Pengarah syarikat forex ditangkap

NORMAN Zakaria (tengah) mengaku tidak bersalah memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM470,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank, Seksyen 14 di sini pada 6 November 2020.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama subseksyen 87 (1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran dan Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan sebutan pada 20 Januari 2022.

BACA JUGA : Akhirnya MB Kedah umum cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam
Gara-gara berniaga sarung kaki, penjawat awam dijatuhi hukuman denda RM8,000

Artikel ini disiarkan pada 17/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)