Penganalisis ramal PN retak teruk jika UMNO digugurkan jawatan menteri

Penganalisis ramal PN retak teruk jika UMNO digugurkan jawatan menteri

Sebarang pengguguran Kabinet dari UMNO jika ada, akan menyebabkan keretakan lebih besar kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, jika tidak, kerajaan ini akan terus kekal sehingga Dewan Rakyat dibubarkan atau selagi mendapat majoriti Ahli Parlimen sendiri.

“Saya melihat semalam selepas UMNO menyatakan tidak mahu bekerjasama tetapi akan kekal dalam kerajaan PN memberi isyarat bahawa hanya dalam PRU15 sahaja mereka tidak akan bekerjasama, tetapi sehingga kerajaan ini berlangsung sehingga dibubarkan Parlimen, UMNO memberi jaminan mereka akan bersama dengan Bersatu dalam kerajaan PN ini.

“Maka sudah pasti saya rasakan kerajaan ini akan kekal sehingga tempoh pembubaran, bagaimanapun ia bergantung juga kepada impak balas daripada PN itu sendiri,” katanya semasa sidang video pada Jumaat.

Pada Khamis, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu mengesahkan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan, Ahmad berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lepas, seperti yang dilaporkan beberapa media.

Dalam pada itu kata Dr Mazlan, pengumuman Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu menggambarkan keputusan MT tidak mendapat sokongan ahli parti.

Ujarnya, ia sekali gus reaksi berbeza dan membuktikan UMNO sebuah parti yang sedang mengalami perpecahan.

UMNO tak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15. Apa maksud di sebalik keputusan ini?

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/pn-lebih-retak-jika-kabinet-umno-digugurkan-dr-mazlan-286217