Penganalisis dakwa kepimpinan Umno perlu ditukar untuk kestabilan kerajaan baharu

Penganalisis dakwa kepimpinan Umno perlu ditukar untuk kestabilan kerajaan baharu

Menurut penganalisis politik, langkah pertama pembentukan kerajaan yang lebih stabil selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang bermula dengan reformasi Umno itu sendiri.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, reformasi Umno yang diketuai oleh pemimpin yang berintegriti akan membuatkan Pakatan Harapan mahu lebih bekerjasama dengan parti itu selepas PRU15.

Beliau menambah, kerajaan Umno-DAP baik untuk negara kerana ia akan mencerminkan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di Malaysia dengan tidak ada kaum yang terpinggir dalam pembentukan kerajaan.

“Dengan yang demikian, kerajaan akan lebih stabil dan kuat,” katanya kepada FMT.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman yang berkata Umno akan bekerjasama dengan DAP jika pendekatan parti itu “lebih sederhana”, Azman berkata Umno sepatutnya melakukan reformasi dalam partinya terlebih dahulu.

“Memperbaharui parti adalah tanggungjawab bersama semua ahli Umno, daripada ahli biasa kepada pemimpin atasan. Dalam memulakan refroamsi, Umno tidak sepatutnya bergantung kepada pemimpin tertentu,” katanya.

Beliau menambah, tidak ada kawan mahupun musuh yang kekal dalam politik, tetapi apa yang penting dalam kerjasama politik adalah kedua-dua pihak perlu ada “kepentingan yang sama”.

“Selagi kepentingan mereka adalah sama dalam berkuasa dan membentuk kerajaan, maka PH bersedia untuk bekerja bersama Umno yang baharu khususnya selepas PRU15.

Saintis politik Wong Chin Huat berkata, ikatan Umno-DAP mesti berasaskan kepada reformasi kerana sebarang kerjasama tanpa masalah bersama untuk merapatkan kedua-dua parti itu akan mengundang reaksi balas dari akar umbi mereka.

Katanya, kedua-dua parti itu boleh mencuba dengan sama-sama memperjuangkan isu berkaitan reformasi seperti pembukaan semula Parlimen.

“Perubahan kerajaan di Perak Disember lalu dengan keyakinan dan perjanjian perbekalan adalah satu contoh kejayaan,” katanya merujuk kepada bagaimana Umno mengambil alih jawatan menteri besar dari PPBM dengan bantuan wakil rakyat PH.

Beliau berkata, pemimpin yang mahu menjadi wajah kempen reformasi Umno itu perlu bebas dari kes mahkamah serta mempunyai hala tuju dan kemahuan untuk membawa parti itu dari “nasionalisme sempit” ke pembuat dasar yang pragmatik.

Pemimpin terbaik yang boleh menempa jalan itu termasuk timbalan presiden Umno Mohamad Hasan, timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, ketua penerangan Shahril Hamdan dan menteri besar Johor Hasni Mohamad, katanya.

Wong berkata, pakatan Umno-DAP akan dapat memberikan jaminan kestabilan jangka pendek dalam kerajaan kerana ketiadaan pertindihan kerusi, dengan kedua-dua parti itu bertanding di kawasan yang berbeza.

Tetapi katanya, masalah utama dalam menentukan faedah jangka panjang kepada negara akan bergantung sama ada mereka terus mengekalkan politik terbuka dan kompetitif.

Dalam satu webinar semalam, beberapa pemimpin Umno berkata krisis politik semasa adalah peluang bagi Umno untuk memperbaiki imejnya dan memimpin perjuangan reformasi politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata krisis politik semasa adalah “titik tolak” bagi parti itu untuk memasukkan beberapa reformasi politik yang serius dalam manifestonya untuk PRU15.

Wong, yang juga sebahagian dari panel forum itu berkata, ia adalah petanda baik bahawa pemimpin arus perdana Umno hari ini membicarakan soal reformasi politik, yang sebelum ini hanya datang dari parti serpihan Umno seperti Semangat 46, PKR dan PPBM.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/07/reformasi-dalam-umno-boleh-bawa-kestabilan-dalam-kerajaan-baharu-kata-penganalisis/