Penerima dos pertama vaksin berpeluang dapat hadiah kereta

Penerima dos pertama vaksin berpeluang dapat hadiah kereta

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin hari ini memaklumkan penduduk di ibu negara Russia itu yang sudah mendapat dos pertama COVID-19 berpeluang mengambil bahagian dalam undian untuk memenangi kereta.

Langkah itu dilakukan ketika pihak berkuasa berusaha untuk menyegerakan program vaksinasi yang terhenti seketika ekoran peningkatan jangkitan baru di Moscow dan seluruh negara.

“Dari 14 Jun hingga 11 Julai 2021, mereka yang sudah memperoleh dos pertama vaksin COVID-19 berpeluang menyertai undian untuk memenangi kereta,” umum Sobyanin di laman webnya.

Setiap minggu, lima kereta akan dikumpulkan, masing-masing bernilai sekitar 1 juta rubel (RM53,404).

“Namun, keuntungan mereka mendapat vaksin tidak boleh dibandingkan dengan kereta, kerana ia untuk kesihatan dan ketenangan mereka sendiri,” kata Sobyanin.

Beliau yang sudah menerima vaksin Sputnik V Russia pada Mei tahun lalu, memaklumkan baru memperoleh suntikan booster dua hari lalu dan berasa sangat sihat.

Sobyanin membangkitkan kebimbangannya mengenai lonjakan kes awal minggu ini dan mengumumkan pembukaan semula hospital di lapangan dan minggu tanpa bekerja sehingga 20 Jun.

Pekerja di sektor tidak penting akan berada di luar pejabat, namun masih tetap menerima gaji.

Namun, mereka belum diarah tinggal di rumah.

Datuk Bandar juga melaksanakan semula larangan untuk bar dan restoran melayan pelanggan antara jam 11 malam hingga 6 pagi.

Pihak berkuasa melaporkan 7,704 kes baru di Moscow hari ini, tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Meskipun memperkenalkan penutupan ketat selepas pandemik itu melanda Russia pada musim bunga lalu, pihak berkuasa menarik balik larangan pada pertengahan musim panas dalam usaha melindungi ekonominya.

Russia memulakan kempen vaksinasi besar-besarannya pada Disember, dengan vaksin asal Sputnik V, seperti disebut oleh Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai yang terbaik di dunia, diperoleh secara percuma di banyak tempat di Moscow.

Sejak pendaftaran Sputnik V pada Ogos lalu, Russia sudah meluluskan tiga lagi vaksin untuk kegunaan awam – EpiVacCorona, CoviVac dan satu dos Sputnik Light.

Vaksin buatan luar tiada di Russia. Setakat ini, 18 juta individu atau 12 peratus penduduknya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dengan tinjauan menunjukkan majoriti rakyat tidak merancang untuk memperoleh imunisasi.

Kremlin memaklumkan Putin sudah diberi vaksin COVID-19 secara tertutup, namun tidak memperincikan jenis suntikan yang digunakan

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/827433/moscow-tawar-hadiah-kereta-bagi-penerima-dos-pertama-vaksin