Peneraju GLC sebaiknya bebas dari orang politik – Abu Kassim

Peneraju GLC sebaiknya bebas dari orang politik – Abu Kassim

Kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus bebas daripada politik, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Bercakap dalam sebuah forum hari ini, Abu Kassim Mohamed berkata Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) dengan jelas menyebut bahawa hanya individu berintegriti harus dilantik mengetuai GLC.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada keadaan di mana ahli politik yang tidak aktif dilantik sebagai ahli atau ketua GLC menunjukkan prestasi yang baik dalam menerajui syarikat.

“Jawapan saya adalah NACP telah menyebutkan dengan jelas, mengatakan bahawa kita harus melantik individu yang berintegriti tinggi memimpin GLC.

“Dan pelaksanaannya pada waktu itu, kerajaan berusaha menghindari semaksium mungkin daripada melantik ahli politik yang aktif. Kerana ada kes, di mana ahli politik (iaitu), ahli politik tidak aktif dilantik sebagai anggota atau ketua GLC, melakukannya dengan baik,” katanya.

Abu Kassim bercakap sebagai ahli panel dalam Forum Pencegahan Rasuah Malaysia yang dianjurkan oleh Institut Strategi Antarabangsa yang diadakan di Putrajaya pagi ini.

Beliau menjawab pertanyaan moderator program mengenai apakah ahli politik harus dilarang sama sekali dilantik dalam GLC.

Abu Kassim yang juga bekas ketua pesuruhajaya SPRM berkata beliau percaya bahawa syarikat harus bebas daripada campur tangan politik.

“Terdapat semacam kekuatiran daripada banyak sektor (mengenai pelantikan politik).

“Dan dari pengalaman saya, saya lebih suka jika kita dapat memiliki kepimpinan dalam GLC yang benar-benar bebas daripada politik,” katanya.

NACP diperkenalkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Rancangan lima tahun tersebut menggariskan sejumlah 115 inisiatif untuk meminimumkan peluang berlakunya amalan rasuah.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikritik apabila ramai ahli politik dari parti komponennya dilantik dalam GLC selepas mereka berkuasa pada Mac.

Mereka yang mengkritik tindakan itu termasuk naib presiden Umno, Khaled Nordin dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Abdul Jalil Rasheed yang mengatakan amalan itu memberi kesan “mengerikan” terhadap persepsi pelabur berhubung ketelusan dan integriti sektor korporat Malaysia.

Sementara itu, Abu Kassim ketika ditemui wartawan berkata beliau telah menyampaikan pendapatnya kepada Muhyiddin, yang turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

“PM percaya bahawa mereka harus melantik orang-orang yang profesional, dan integriti harus menjadi salah satu elemen yang harus dipertimbangkan.

“Itu adalah pendapat saya dan saya menyampaikannya kepada PM, dan PM setakat mana yang saya tahu setuju dengan itu,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541162