Penduduk Sri Andalas bengang CAC dalam kawasan perumahan mereka

Penduduk Sri Andalas bengang CAC dalam kawasan perumahan mereka

Walaupun beberapa penambahbaikan dilakukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Taman Seri Andalas, Klang tetapi penduduk di situ tetap mahu pusat tersebut dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai dan munasabah dengan mengambil kira keselamatan dan kebimbangan penduduk setempat.

Sungguhpun bantahan rasmi telah dihantar kepada Pejabat Daerah Klang dan tiga kali mesyuarat bencana dilakukan bersama wakil penduduk namun sehingga hari ini permohonan penduduk terhadap CAC itu masih tiada noktah.

Pengerusi Penduduk Fasa 7 Taman Seri Andalas, Saijan Sikon yang kesal dengan keadaan itu berkata, pihak-pihak berkuasa boleh memberi apa sahaja alasan mereka berhubung keputusan menempatkan CAC tersebut kerana mereka tidak tinggal di kawasan ini.

Penduduk

Oleh sebab itu, pihak-pihak berkenaan tidak rasa bimbang, gusar, gelisah dan ketakutan penduduk apabila CAC yang melakukan penilaian kepada pesakit Covid-19 – penyakit berjangkit yang menyebabkan pesakit sengsara dan maut – berada di hadapan mata, bahkan berkongsi persekitaran sama.

“Saya percaya kalau pihak-pihak yang membuat keputusan itu tinggal di kawasan ini, hidup di sini bersama-sama keluarga mereka, pastinya mereka juga akan membantah.

”Masalahnya, mereka yang terlibat tidak tinggal di sini maka rasa kebimbangan itu tidak dirasai seperti kami,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang cukup kesal apabila bantahan penduduk-penduduk di taman perumahan itu dipandang sepi oleh Kerajaan Negeri Selangor khususnya Pejabat Daerah Klang berkata, jangan bila berlaku ‘Kluster Sri Andalas’ baru hendak mengambil tindakan, ia sudah terlambat.

Saijan menambah, sejak CAC beroperasi 12 Julai lalu, penduduk berhampiran kawasan berkenaan hidup dalam kurungan kerana terpaksa menutup tingkap dan pintu kerana bimbang dengan risiko jangkitan melalui udara.

“Rasa takut penduduk ini logik kerana setiap hari beratur lebih 1,000 orang untuk mendapatkan pemeriksaan di CAC ini.

”Kebanyakan kami ini macam tinggal dalam ‘oven’ berkurung kepanasan. Dalam cuaca hangat sekarang, nak bukak ‘aircond’ pun takut, sebab keadaan di luar sana.

“Bukan itu sahaja, rata-rata kami di sini semakin takut hendak beli barang di kedai-kedai kecil di sini kerana kedai-kedai itu juga dikunjungi oleh individu-individu dari CAC berkenaan.

“Akibatnya, aktiviti ekonomi di pekan ini semakin mengecil kerana peniaga juga tutup perniagaan dek kebimbangan,” tambah beliau.

Ini belum lagi, depan rumah penduduk penuh dengan kereta individu yang datang ke CAC, pelitup muka, botol air dan tisu yang bersepah.

“Nak dibersihkan pun kami takut walaupun depan rumah bersepah,” ujarnya.

Saijan yang juga Pengerusi Surau An Na’im berkata, tempat ibadat itu juga sudah tidak dapat berfungsi kerana ahli-ahli jawatankuasa juga bimbang untuk ke surau kerana kedudukannya 70 meter dari CAC.

“Siapa yang tak bimbang, tambah-tambah lagi kes Covid-19 merebak dengan cepat, ada varian bahaya yang boleh menular melalui udara. Cuba pihak yang membuat keputusan duduk di situ, mereka berani tak. Mereka pun takkan berani, tapi bila buat keputusan tak fikir orang lain.

“Kalaulah mereka membuat kajian tentang populasi di sini, kepadatan taman ini diambil kira, mereka yang rasional akan berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan,” tegasnya sambil menambah, bantahan dibuat bukan hendak mencari populariti tetapi demi keselamatan setempat.

Walaupun Pejabat Daerah memberi alasan Dewan Sukan Klang di situ bersaiz besar, ada pendingin hawa dan tidak jauh dari lokasi penduduk, namun Saijan dan wakil-wakil penduduk lain tetap berpendapat itu adalah alasan mudah.

“Sesiapa pun boleh cari alasan tetapi kalau mereka fikir panjang tentang keselamatan penduduk warga emas, kesejahteraan anak-anak kecil di sini, mereka boleh mencari alternatif lain.

“Tapi jika pihak-pihak terlibat sekadar mahu kerja mudah, maka kekalkan sahaja keadaan sekarang walaupun ratusan penduduk di sini berasa tidak selamat berada dalam rumah sendiri,” tambah Saijan.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/07/25/jangan-sampai-wujud-kluster-sri-andalas-penduduk/

BACA JUGA : Panas !!! Pas mungkin bersendirian dalam PRU15