Pendedahan Zafrul bakal buka pekung ‘pengkhianat’ kerajaan PH

Pendedahan Zafrul bakal buka pekung ‘pengkhianat’ kerajaan PH

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pendedahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung projek rundingan terus di Dewan Rakyat semalam bertujuan untuk memalukan “menteri pengkhianat” dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi parti Amanah, Khalid Samad, berkata tidak mustahil pendedahan itu adalah permainan politik antara Umno dan Bersatu.

“Mohamed Azmin Ali bagaikan melompat bila perkara ini didedahkan. Saya tak tolak kemungkinan isu ini hendak malukan beliau juga.

“Ini mungkin permainan politik antara Umno dan Bersatu,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Jelas Khalid, projek rundingan terus yang didedahkan semalam membabitkan kementerian diterajui “menteri pengkhianat” yang kini bersama PN.

Dewan Rakyat semalam kecoh apabila menteri kewangan mendakwa bahawa sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“Semasa pentadbiran sebelum ini sejumlah 101 projek ataupun perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh kementerian kewangan,” kata Tengku Zafrul ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat.

Dakwaan itu menimbulkan keributan, dengan beberapa anggota parlimen PN menuntut supaya menteri berkenaan untuk meyenaraikan semua projek berkenaan.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng (PH – Bagan) kemudian bangun dan berkata bahawa dia terbuka sekiranya Tengku Zafrul memberitahu senarai penerima.

“Tender-tender yang diberikan bukan secara tender terbuka. Kita lihat jumlah yang diberikan secara tender terbuka jauh lebih besar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat,” katanya.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, apakah projek yang diberikan secara direct award dan ia juga diluluskan oleh kabinet? Sepertimana YB PM pun tau di mana… ,” katanya di Dewan Rakyat.

Lim cabar dedah senarai projek

Sementara itu, Lim dalam sidang media sama di Parlimen hari ini mempertahankan kelulusan projek “direct award” yang diluluskan tidak bercanggah dengan peraturan kerajaan.

Bahkan apa yang dilakukannya itu tidak sama sekali bercanggah dengan manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Oleh itu dia mencabar Tengku Zafrul supaya mendedahkan senarai-senarai projek rundingan terus berkenaan era PH, BN dan PN.

“Oleh itu saya mendesak Tengku Zafrul mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran BN, PH dan PN. Jangan fitnah, jangan suka baling batu sembunyi tangan.

“Saya hanya lulus (projek rundingan terus), serah kepada kementerian untuk laksanakan. Kenapa tiba-tiba jadi isu.

“Ia tak langgar janji PH, kita masih cakap serupa bikin,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/539954

COMMENTS