Pendedahan Hamid : Mujahid pula tuntut penubuhan RCI

KPN bakal bersara Abdul Hamid Bador telah meledakkan bom jangka yang telah menggegarkan negara berkait tuduhan rasuah untuk membeli MP dan Adun yang menjadi katak-katak yang melompat. Walaupun tidak menyebut nama, umum maklum tuduhan itu diajukan kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan PN yang terang-terang mendedahkan pelan ‘scheme of things’ (pelan menyogok)

Ada beberapa isu dari pendedahan yang dibuat antaranya campurtangan Menteri di KDN menentukan perlantikan dengan istilah ‘budak kita’. Audio yang ditularkan diperakui oleh Menteri Dalam Negeri mengukuhkan lagi dakwaan Hamid Bador bahawa campurtangan politik menguasai perlantikan dalam hiraki Pasukan Polis.

Hamid seterusnya mempertikaikan integriti ahli politik yang dituduhnya ‘membeli’ untuk ‘katak-katak’ melompat di sana-sini. Kenyataan tersebut mensahkan berlakunya tawar-menawar untuk MP dan Adun ‘lompat katak’ dan sekaligus membuktikan betapa rasuah politik yang diamalkan untuk PN kekal berkuasa sudah sampai ke tahap kronik. Rakyat bukan sahaja muak dengan rasuah politik yang merebak tetapi rakyat perlu bangkit memberhentikan kegilaan rasuah dengan membeli MP-MP dan Adun!

Kenyataan Hamid Bador seolah satu kenyataan hilang kepercayaan terhadap kerajaan PN hari ini. Ia bukan kenyataan politik dari mana-mana pimpinan parti tetapi dari KPN sendiri dilakukan dalam sidang akhbarnya yang terakhir. Ini adalah isyarat kepada bagaimana rasuah politik menjadi kanser yang sukar dibendung!

Oleh kerana itu, satu siasatan menyeluruh oleh SPRM kepada kenyataan KPN bakal bersara perlu dibuat atas dakwaan serius ini. Termasuklah desakan membentuk Suruhanja Bebas DiRaja tentang integriti KDN dan Menterinya hari ini yang telah merosakkan imej demokrasi dan integriti kerajaan dengan membeli MP dan Adun untuk mencipta ketidakstabilan politik.

Menteri Dalam Negeri jika ada maruah dengan tuduhan berat ini perlu membersihkan semuan tuduhan ini untuk memelihara integriti pasukan polis dan kementeriannya yang dituduh pencetus kepada lahirnya ‘katak-katak yang melompat’

Jika KPN secara berani menyebut kepincangan besar dilakukan Menteri yang menjaga keselamatan awam, ini tandanya kerajaan PN gagal di mana PM harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan pendedahan ini. KPN baru tidak mungkin mewarisi kepimpinan tanpa isu besar seperti integriti dan rasuah ini diselesaikan terlebih dahulu demi memelihara maruah dan demokrasi negara.

Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

COMMENTS

Wordpress (0)