Pendakwaan tutup kes SRC selasa ini

images (6).jpg

Menjelang akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa hanya Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat manfaat daripada penyelewengan dana syarikat itu, bukannya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Perbicaraan itu juga diberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dalam kenyataannya yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyatakan bahawa bekas perdana menteri itu tidak terlibat dalam kes SRC.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, satu-satunya saksi yang memberi keterangan sepanjang perbicaraan minggu ini, memberitahu mahkamah bahawa dana RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Putera Faisal Turki dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Rosli adalah saksi akhir pendakwaan dan berikut keterangannya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula 19 hingga 23 Ogos.

HARI KE-54 (19 OGOS):

Rosli, pegawai penyiasat kes tersebut, memberitahu mahkamah bahawa Najib mengakui semua tandatangan yang terdapat pada dokumen berkaitan tiga akaun semasa peribadi di AmIslamic Bank Berhad miliknya, adalah tandatangannya.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata dokumen berkenaan adalah borang pembukaan akaun bank, surat arahan pindahan wang dan borang berkaitan kad kredit.

Semasa ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim sama ada beliau menyoal Najib mengenai semua tandatangan dalam dokumen-dokumen itu adalah tandatangannya, saksi itu berkata; “ada”. SPRM mengambil penyataan Najib sebanyak tiga kali.

“ Penyataan pertama pada 5 Dis 2015, penyataan kedua 22 Mei 2018 dan penyataan ketiga telah diambil pada 24 Mei 2018. Semua dokumen ini telah dirujuk kepada Najib dan beliau sahkan semua tandatangan tersebut adalah tandatangannya dan tidak menafikannya,” kata Rosli.

HARI KE-55 (20 OGOS):

Rosli memberitahu mahkamah bahawa SPRM tidak pernah menyoal siasat pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung artikel bertajuk ‘Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail Malaysia Exclusive’ yang diterbitkan pada 2015.

Beliau berkata sepanjang mengendalikan kes SRC, beliau tidak pernah berjumpa Rewcastle Brown atau mengarahkan mana-mana pegawai untuk bertemu dengannya.

“Saya juga tidak menyiasat bagaimana beliau boleh mengeluarkan artikel berkenaan pada 2 Julai 2015,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh.

Pegawai penyiasat itu berkata, siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan laporan yang diperoleh daripada Penolong Pesuruhjaya SPRM Bahagian Forensik Perakaunan, Prem Raj bertarikh 6 Julai 2015.

Katanya, kertas siasatan kes SRC diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya pada 31 Dis 2015 dan sekali lagi dikemukakan semula kepada pihak sama pada 12 Jun 2018.

Rosli berkata, secara kesuruhan 193 saksi telah dipanggil untuk direkodkan keterangan sepanjang siasatan kes itu.

Saksi itu berkata Jho Low menafikan beliau adalah seorang daripada individu dalam perbualan menerusi log Black Berry Message (BBM) yang diekstrak dari telefon bimbit bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping.

Rosli berkata Jho Low tidak mengakui perkara itu semasa ditunjukkan transkrip perbualan BBM itu ketika percakapannya direkodkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 27 Nov 2015.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan daripada saksi bahawa perbualan log BBM antara Yu yang mengendalikan akaun-akaun bank Najib dan Jho Low adalah berkaitan urusan transaksi kemasukan dan pengeluaran wang daripada akaun-akaun bank milik bekas perdana menteri itu.

Beliau turut memberitahu pegawainya telah mengambil kenyataan daripada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada 2018, selepas Najib didakwa pada Julai 2018 (kes SRC).

HARI KE-56 (22 OGOS):

Pegawai penyiasat itu meneruskan keterangan dengan mengesahkan bahawa dana sebanyak RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Putera Faisal Turki dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu yang bernombor akhir 694.

Harvinderjit: Adakah kamu boleh mengesahkan dalam akaun itu ada kemasukan duit daripada Prince Faisal bin Turki?

Rosli: Ada

Harvinderjit: Jumlahnya lebih kurang RM399 juta?

Rosli :Ya, lebih kurang.

Harvinderjit: Ada kemasukan duit dari Kementerian Kewangan Arab Saudi sebanyak RM243 juta?

Rosli : Ada

Saksi turut mengesahkan bahawa Najib mempunyai kepentingan dalam penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bukannya Jho Low.

Harvinderjit: Secara keseluruhan, penyelewengan dana SRC dibuat oleh Jho Low dan sekutunya?

Rosli: Saya tidak setuju.

Harvinderjit: Secara keseluruhan, berdasarkan transkip Black Berry Message (BBM) saya mencadangkan Datuk Seri Najib tidak terlibat dalam mana-mana pengeluaran duit dalam SRC?

Rosli: Jho Low tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini, hanya Najib yang ada kepentingan.

Beliau berkata Notis Merah yang dikeluarkan Interpol terhadap Jho Low, dan Nik Faisal adalah atas dakwaan terlibat dalam pecah amanah (CBT) dan penyelewengan dana SRC.

Rosli bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa sebelum notis merah dikeluarkan, waran tangkap dikeluarkan terlebih dahulu terhadap Nik Faisal bersama dengan pertuduhan yang didaftarkan di Mahkamah Kuala Lumpur atas dakwaan melakukan CBT ke atas aset SRC.

Beliau berkata kandungan Notis Merah yang dikeluarkan terhadap Nik Faisal adalah sama dengan notis ke atas Jho Low yang menyatakan ia adalah dakwaan terlibat dalam CBT dan penyelewengan wang SRC.

Harvinderjit : Selain itu imej-imej yang dihantar ke beberapa negara juga mengatakan Jho Low dan Nik Faisal adalah suspek dalam penyelewengan wang SRC?

Rosli : Ya

HARI KE-57 (23 OGOS):

Rosli berkata Nik Faisal ada mengaitkan Najib dalam kes SRC semasa rakaman percakapannya direkodkan SPRM pada 17 Okt 2015 dan sekali lagi pada penghujung Oktober tahun sama di Jakarta, Indonesia.
Semasa menjawab pertanyaan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata Nik Faisal tidak pernah menyatakan Najib tidak terlibat dalam kenyataannya.
Muhammad Shafee : Saya cadangkan bahawa Nik Faisal tidak implicate langsung Datuk Seri Najib dalam kedua-dua kenyataannya.
Rosli : Tidak setuju.

Ketika disoal seorang lagi peguam Najib, Farhan Read, saksi itu berkata Najib mendakwa beliau membelanjakan RM3.3 juta untuk hadiah kepada isteri bekas perdana menteri Qatar, pada 2014.

Farhan: Datuk Seri Najib ketika memberi keterangan kepada SPRM, beliau berkata pembelian barang kemas di De Grisogono, Itali menggunakan kad kreditnya adalah untuk tujuan pemberian hadiah kepada pemimpin luar negara?

Rosli: Itu dakwaan dia (Najib).

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva, Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi.

Pegawai kanan SPRM itu berkata pihaknya tidak menyiasat lanjut dakwaan Najib berhubung pertemuannya dengan Raja Arab Saudi dan mengenai derma yang diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi dalam akaun peribadinya kerana tiada kaitan dengan kes SRC.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pendakwaan akan menutup kesnya pada Selasa.

BERNAMA