Pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, 10 hari untuk Ahmad Maslan buat keputusan

Pencalonan

Pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, 10 hari untuk Ahmad Maslan buat keputusan.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak menolak kemungkinan akan menyerahkan borang pencalonan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau masih mempunyai tempoh selama 10 hari untuk menghantar borang pencalonan kepada Datuk Azhar Azizan Harun sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktober ini.

Tegasnya, walaupun sebelum ini pencalonannya terhadap jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu ditolak Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun percaya masih ada ruang perbincangan bagi membolehkan beliau mengisi kekosongan jawatan itu.

“Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang. Bagi sesi seterusnya Dewan Rakyat akan bersidang pada 25 Oktober.

“Maka saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya berbincang bagi mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Speaker,” katanya.

Pencalonan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan.

Ahmad (dua dari kanan) bersama Hasni (kanan) dan Surinah (kiri) ketika meninjau PPV Benut di sini pada Sabtu.
Sementara itu ketika ditanya adakah Perikatan Nasional ( PN) membuat permintaan kepada UMNO berkaitan jumlah kerusi bagi persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Ahmad berkata, UMNO tegas untuk mempertahankan kerusi yang pernah dimenangi.

“Setakat ini, UMNO tidak terima apa-apa permintaan daripada PN berhubung agihan kerusi. Oleh itu, UMNO kekal dengan pendirian untuk teruskan pertahankan kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan terdapat perbincangan yang sedang dibuat berhubung kemelut politik yang berlaku di Melaka dan memilih untuk tidak mahu mengulas isu tersebut.

“Isu di Melaka ini, elok tunggu dulu sebab ada perundingan yang sedang dibuat, jadi saya tidak boleh berikan sebarang komen,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/164680/BERITA/Nasional/Saya-masih-ada-tempoh-10-hari-untuk-berfikir-Ahmad-Maslan

BACA: Mat Sabu dedah peranan sebenar Lim Guan Eng dalam proses selamatkan Tabung Haji

 

COMMENTS

Wordpress (0)