Pemuda Amanah gesa kerajaan ikut saranan Dr Muhammad Khalid

Pemuda Amanah gesa kerajaan ikut saranan Dr Muhammad Khalid

Strategi 3 serangkai yang disarankan oleh pakar ekonomi, Dr Muhammad Khalid perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Pemuda AMANAH sebelum ini telah mencadangkan perbelanjaan stimulus yang lebih besar dengan segera untuk kemampanan ekonomi rakyat lebih-lebih lagi kemungkinan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perhatian penting juga harus terarah kepada rakyat yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai simpanan KWSP dan juga tidak layak memohon Employment Retention Plan (ERP) yang diumumkan kerajaan. Kumpulan ‘gig economy’ seperti pemandu e-hailing misalnya. Adakah berbaloi risiko yang perlu ditanggung penunggang Food Panda walaupun penghantaran makanan masih dibenarkan ketika ini?

Itu tidak termasuk peniaga kecil-kecilan di kaki lima jalan serta di pasar-pasar malam. Ibarat telah jatuh ditimpa tangga, sekiranya tiada suntikan langsung daripada kerajaan dalam beberapa minggu ke depan, keadaan yang telah sedia buruk pastinya akan lebih menyukarkan kehidupan sehari-hari.

Aspek paling penting untuk rakyat khususnya yang terjejas teruk adalah tunai dalam tangan untuk pembelian barangan keperluan harian dan perbelanjaan bulanan. Mekanisme penyaluran tunai boleh dilaksanakan melalui e-wallet, dan cara ini telahpun dilaksanakan melalui insentif e-wallet yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Pemuda AMANAH sekali lagi mencadangkan bantuan RM1,500 sekeluarga untuk sebulan, kerana ini ialah minima yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan jarak dekat dan bil utiliti. Seperti yang ditegaskan oleh pakar ekonomi, ini bukan masa untuk kedekut kerana kos kemelesetan dan ketiadaan punca pendapatan adalah lebih besar lagi.

Kerajaan boleh pertimbang untuk dibuat agihan semula Belanjawan 2020 dan meletakkan prioriti belanja di sektor kritikal ketika ini. Ini boleh dilakukan dengan menyalurkan keluar belanja kementerian yang tidak utama kepada kementerian paling kritikal iaitu kementerian kesihatan dan juga kepada sektor-sektor penting yang dapat membantu rakyat.

#KitaJagaKita

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional