Pemimpin Umno, Pas turut zahir bantahan terhadap idea Mageran

Menteri

Pemimpin empat parti daripada gabungan pemerintah dan pembangkang utama negara menolak cadangan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diajukan Dr Mahathir Mohamad dan meminta bekas perdana menteri itu tidak lagi campur tangan dalam pentadbiran negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata cadangan Mahathir itu dibimbangi akan beri kesan lebih buruk kepada ekonomi, politik, dan kestabilan berbanding darurat, sementara Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, pula berkata MAGERAN Mahathir itu akan mengambil alih daripada pentadbiran yang sah.

“Dia sendiri tanpa segan silu menawarkan diri untuk kembali berkhidmat. Sudah tentu sasaran utama Mahathir adalah jawatan Pengarah MAGERAN seperti mana yang pernah dipegang Razak Hussein satu ketika dulu,” kata Puad.

“Yang kita bimbang ialah MAGERAN akan berpanjangan dan disalahgunakan. Dendam, penganiayaan politik, kembali bermaharajalela. Cukuplah, jangan ulangi kezaliman tersebut.”

Kamaruzaman pula berkata PAS terus mendukung kepimpinan Muhyiddin Yassin dan mandat harus diberi kepada kerajaan yang sah.

“Cadangan itu itu tidak perlu kerana kerajaan sedia ada masih bertindak atas nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Wakil rakyat PKR dan Amanah senada dengan seteru mereka. Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata sewajarnya kuasa pentadbiran dikembalikan kepada sebuah kerajaan awam dan bukan menyerahkan kuasa kepada suatu badan.

Untuk menjayakan peralihan itu, beliau berkata seorang pemimpin daripada blok politik terbesar di Parlimen boleh dilantik untuk memimpin kerajaan minoriti dengan matlamat untuk mendapatkan majoriti secukupnya sehingga PRU15.

“Apabila Perikatan Nasional gagal, blok politik terbesar dalam parlimen ialah Pakatan Harapan. Agong boleh melantik (ketua pembangkang) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dengan kerajaan minoriti dan beri dia masa dua atau tiga minggu untuk bentuk kerajaan yang cukup majoriti.

“Minggu ke-4, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil sidang Parlimen untuk diadakan undi percaya terhadap Anwar. Jika dia berjaya, kerajaan pimpinan Anwar terus mentadbir sehingga PRU-15,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, berkata apa yang perlu ketika ini adalah memulihkan keyakinan kepada pentadbiran negara, dengan menghidupkan fungsi Parlimen sebagai badan semak dan imbang.

“Bila darurat diwujudkan, ia memberi gambaran yang buruk khususnya dari sudut ekonomi sehingga ada pelabur bertindak keluar dari negara sedangkan kita tidak hadapi masalah keselamatan, hanya berdepan Covid-19 yang boleh ditangani dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

Dalam pada itu, Puad berkata Mahathir, 95, ketika ini patut lebih realistik.

“Masa beliau sudah berakhir. Dia sudah dapat peluang kedua tetapi disia-siakan. Mana mungkin dia perlu diberi peluang ketiga. Kita khuatir lebih banyak kerosakan akan berlaku,” katanya.

Kamaruzaman pula berkata walaupun beliau menolak cadangan Mahathir, bekas perdana menteri itu dan pemimpin lain berhak menyuarakan “isi hati” mereka.

Hassan bagaimanapun berkata cadangan Mahathir menawarkan dirinya untuk memimpin sebagai “tidak masuk akal” kerana beliau bukan pemimpin mana-mana parti politik.

Malah, Pejuang yang pendaftarannya masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia “hanya ada empat Ahli Parlimen sahaja”.

“Melantik semula Mahathir memimpin kerajaan adalah satu ‘precedent’ yang bercanggah dengan norma demokrasi berparlimen,” katanya.

Pemimpin parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula 9 Jun, dimulai dengan Perdana Menteri Muhyiddin yang juga presiden Bersatu. Bagi pemimpin parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Pada sidang media selepas menghadap Agong semalam, Mahathir mencadangkan penubuhan MAGERAN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan dan menawarkan khidmatnya.

Mahathir mendakwa MAGERAN perlu ditubuhkan segera bagi “merawat kerosakan” yang berlaku dalam pentadbiran Muhyiddin, yang disifatkan sebagai gagal memerangi pandemik Covid-19.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/11/selain-ph-pemimpin-umno-dan-pas-pun-tolak-mageran-dr-m/