Pemimpin Umno gesa pembangkang bantu kerajaan jayakan Keluarga Malaysia

Semua ahli Parlimen pembangkang perlu membantu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjayakan Keluarga Malaysia dengan menyertai Jawatankuasa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, pelawaan Perdana Menteri menerusi ucapan pertama beliau sejurus diberi mandat menerajui negara memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memulihkan semula Malaysia.

Pembangkang

“Secara jelas ucapan Perdana Menteri mengajak semua pihak untuk membina sebuah negara bangsa iaitu Keluarga Malaysia yang merentasi fahaman politik dan agama.

“Jadi inilah masanya pembangkang nak tunjukkan kepada rakyat dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melupakan segala ‘sengketa politik’ dengan menjayakan usaha itu,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Isnin.

Menurutnya, pembentukan jawatankuasa itu dilihat menjadi landasan terbaik dalam membentuk gabungan bagi melawan Covid-19 yang semakin ganas dengan kewujudan varian-varian baharu pada hari ini.

Beliau berkata, hal ini kerana serangan Covid-19 menyebabkan semua pihak merasai ‘tekanan’ yang dibawa oleh pandemik itu.

Mengulas mengenai pembentukan kabinet, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu mahu semua parti komponen yang terlibat dalam pembentukan kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri berbincang sebaiknya berkait dengan agihan tanggungjawab.

Katanya, 114 ahli Parlimen perlu berlapang dada dengan kabinet yang bakal dibentuk bagi memastikan gerak kerja memulihkan negara berjalan lancar.

“Saya cukup yakin semua yang terlibat (ahli Parlimen) faham akan tanggungjawab mereka dalam memacu negara bagi melawan Covid-19 ketika ini,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/157158/BERITA/Politik/Pembangkang-perlu-bantu-kerajaan-jayakan-Keluarga-Malaysia

Baca Juga : Panas !!! Anggota tentera pangkat sarjan dilapor kena pecat kerana tolak vaksin