Pemimpin PN amat takut dengan Tamat Darurat

Pemimpin PN amat takut dengan Tamat Darurat

Penamatan darurat dipercayai menjadi igauan ngeri kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diuji samada beliau mempunyai majoriti atau tidak.

Dr ROSLAN
Namun, ia adalah langkah terbaik untuk kepentingan negara, kata Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad yang menyokong usaha agar darurat ditamatkan.

“Gesaan menamatkan proklamasi darurat ini dijangka menjadi igauan kepada kerajaan PN kerana ia akan mempercepatkan proses pengesahan kedudukan Perdana Menteri samada beliau mempunyai majoriti dan mandat atau pun sebaliknya,” kata Dr Roslan kepada Malaysia Dateline.

AMANAH Pulau Pinang, katanya, menyambut baik perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat dalam tempoh terdekat.

Malah gerakan mengutip petisyen sokongan rakyat dan merafak sembah merayu kepada YDPA bagi memohon pengisytiharan darurat ditamatkan dan sidang Parlimen diadakan disokong kerana ia amat penting agar proses semak imbang dan urusan kerajaan dapat berjalan dengan lancar bagi manfaat rakyat.

Dalam kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline Dr Roslan berkata, memorandum rayuan bagi menamatkan darurat tersebut adalah luahan hati rakyat yang melihat darurat tidak membantu mengekang penularan Covid-19 maupun untuk menyelesaikan masalah ekonomi serta isu kesihatan awam setelah angka penularan Covid-19 terus meningkat.

“Sehubungan itu AMANAH Pulau Pinang mendesak penamatan pengisytiharan darurat dan pembukaan Parlimen dilaksanakan dengan segera bagi membantu kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa di Parlimen untuk membincang serta menghasilkan langkah-langkah yang realistik dalam menangani isu kesempitan hidup rakyat dan masalah berkaitan SOP Covid-19.

“Selain itu semak imbang dan keamanahan dalam berhutang dan berbelanja secara berhemah bagi program vaksinasi dan kebajikan rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna termasuk mengembalikan imej rakyat negara ini yang berpegang pada prinsip-prinsip demokrasi, ” ujar beliau.

Yang Dipertuan Agong baru-baru ini bersetuju untuk bertemu dengan Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat yang diketuai oleh Khalid Abd Samad.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/tamat-darurat-mimpi-ngeri-untuk-pemimpin-pn/