Pemimpin Pas kurang senang dengan filem Penunggang Agama

Pemimpin Pas kurang senang dengan filem Penunggang Agama

GENERASI 70-an dan 80-an seperti saya mungkin masih ingat mengenai Hantu Kum Kum dan Hantu Stokin. Ia bukan seperti Hantu kak Limah yang hanya filem komedi. Ia adalah usaha jahat menyerang kebangkitan Islam pada ketika itu.

Walaupun ia tidak difilemkan namun kisah itu tersebar begitu pantas menakutkan anak-anak seperti saya. Ibu bapa menjadikan ugutan agar tidak merayau selepas pulang surau waktu Isyak. Hantu Kum Kum dan Stokin ialah wanita bertudung labuh berstokin dan memakai purdah. Ia diceritakan memberi salam ketika bertemu dan meminta kita memegang anak kecil yang dikendong. Apabila ia pergi, anak yang dikendong itu rupanya adalah batu nisan.

 

Zaman itu juga dipopularkan kisah Guru Yahya. Ia menceritakan seorang penjenayah yang berwatak alim dan menyebarkan agama namun sangat bernafsu terhadap wanita. Cerita-cerita tersebut bertujuan memberi gambaran buruk kepada gerakan dakwah yang sedang berkembang ketika itu. Ia melatari gaya hidup mahasiswa. Mereka mula bertudung labuh dan berlebai. Satu suasana asing ketika itu di kampus.

Demikianlah persepsi yang dibina untuk menghalang kebangkitan dakwah semasa. Namun ibarat air yang mengalir, ia mungkin mampu disekat tetapi menjadi gelombang apabila ia terkumpul di empangan.

Kini era tersebut telah berlalu. Kebanyakan mereka telah berada di institusi penting dan berperanan dalam masyarakat. Mereka membawa seruan Islam dalam institusi kerajaan dan politik serta masyarakat umum.

Keadaan ini sangat tidak disenangi. Pelbagai istilah baru dicipta bagi memberi gambaran buruk kepada mereka. Antaranya ‘penunggang agama’. Tujuannya sama seperti Hantu Kum Kum… Memberi persepsi dan gambaran buruk bagi mereka yang menjadikan agama sebagai panduan hidup.

Menunggang bermaksud mempergunakan. Hakikat sebenar ia adalah baik. Mereka yang menjadikan agama sebagai cara untuk hidup. Berpandukan agama. Menggunakan agama untuk bergerak dan bertindak.

Persepsi yang dibina ialah mereka yang berpura pura menggunakan agama. Orang jahat yang bertopeng agama. Sehingga dilihat sesiapa sahaja yang beramal dan berhujah dengan agama adalah buruk dan hina. Sedangkan mereka yang hidup tanpa panduan dilihat mulia. Mereka berusaha membina pandangan jahat melalui mulut-mulut dan sebaran media yang ada.

Hakikatnya mereka cuba memadamkan agama Allah sedangkan Allah menyempurnakan cahayanya. Saya belum mengulas mengenai filem Melayu. Saya hanya mengulas cara dan kaedah memburukkan agama yang diulang semula. Tidakkah kekufuran itu millah yang satu. Berguru dari guru yang satu?

Berita Penuh :https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/25/momokan-dan-fobia-untuk-jauhi-gerakan-islam/