Pemimpin Pas gesa harga ayam perlu ambil kira kepentingan penternak selain pengguna

Pemimpin Pas gesa harga ayam perlu ambil kira kepentingan penternak selain pengguna

Penetapan harga kawalan ayam perlu mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri itu di negara ini.

Selain pengguna, kepentingan pemain dalam industri itu termasuk penternak juga perlu diberi perhatian supaya harga yang ditetapkan itu adil dan tidak menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, langkah kerajan menetapkan harga siling ayam standard pada RM7.90 berkuat kuasa Rabu dapat membantu meringankan beban ditanggung pengguna.

Menurutnya, langkah itu amat wajar namun pada masa sama, isu-isu yang dihadapi pengusaha dalam industri ini yang mendorong kepada kenaikan bahan makanan itu perlu juga diberi perhatian sewajarnya.

“Penghasilan bekalan ayam ini melalui pelbagai peringkat termasuk di peringkat ladang yang sudah tentu berdepan pelbagai isu termasuk kenaikan harga makanan ayam dan sebagainya.

“Harga makanan juga perlu dilihat sebagai satu punca kenaikan harga ayam.

“Justeru, sekiranya pihak KPDNHEP hanya fokus kepada pengguna tanpa mengawal harga pada peringkat lain, dibimbangi akan memberi kesan dan menjejaskan pengusaha termasuk penternak dan juga pemborong,” katanya.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, KPDNHEP diminta supaya menjadi lebih telus dengan mengawal juga harga barangan pengguna yang lain.

“Maknanya semua, bukan setakat harga ayam sahaja tapi semua barangan keperluan termasuk minyak masak, bawang dan sebagainya.

“Permintaan terhadap barang keperluan ini cukup tinggi terutama sekali pada musim perayaan ini, maka kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga mengikut selera sendiri dan akhirnya akan menjejaskan dan membebankan pengguna,” katanya.

 

KPDNHEP sebelum ini mengumumkan ayam termasuk dalam senarai 12 jenis barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021, bermula pada Rabu.

Sebelum ini kenaikan harga ayam yang mendadak menimbulkan rungutan pengguna.

Kenaikan harga ayam itu didakwa disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam iaitu jagung dan soya import sejak Januari lalu

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134705/BERITA/Semasa/Harga-ayam-perlu-ambil-kira-kepentingan-pengguna-pengusaha