Pemimpin Bersatu gelar Najib Razak sebagai ketua perungut kebangsaan

Pemimpin Bersatu gelar Najib Razak sebagai ketua perungut kebangsaan

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sengaja memetik kenyataan beliau secara separuh masak berkaitan kesan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Menurutnya, strategi yang digunakan itu dilihat sudah menjadi kebiasaan bagi kluster merungut.

“Mereka ini sengaja petik sekerat-sekerat untuk ubah topik. Sedangkan kita tahu selepas meneliti data yang terkini dan mencari keseimbangan antara kesihatan serta kesejahteraan ekonomi, ‘total lockdown’ telah diisytiharkan.

“Strategi mengubah topik ini juga sudah menjadi kebiasaan #klustermerungut. Tidak sukar kita fahami kenapa Najib Razak sebagai ketua perungut kebangsaan perlu sentiasa mengubah topik,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya pada Rabu.

Pada Isnin, Wan Saiful memaklumkan keputusan kerajaan melaksanakan PKP penuh tepat apabila lekuk graf jangkitan Covid-19 mula melandai dalam masa beberapa hari sejak Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

Beliau dilaporkan berkata, ia sekali gus menafikan segala tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan terperinci.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mendakwa strategi yang digunakan Ahli Parlimen Pekan itu seolah-oleh mahu menutup keburukan beliau sebelum ini.

“Strategi yang Najib gunakan ialah dengan merungut, tuduh orang lain buruk, dengan harapan rakyat lupa keburukan dia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, amat penting untuk kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta terkini khususnya dalam menyeimbangkan tuntutan kesihatan dan ekonomi rakyat.

“Fakta berubah-ubah hampir setiap hari. Justeru, kita mahu kerajaan cakna dan membuat keputusan berdasarkan data dan fakta terkini.

“Jika sebelum ini kita tidak mahu adakan sekatan, mungkin ada masa nanti kita berubah pandangan dan mahukan sekatan ketat. Jika sebelum ini prosedur operasi standard (SOP) ketat, mungkin kita akan berubah dan mahukan kelonggaran sebab data pada masa itu sudah berbeza,” katanya.

Wan Saiful berkata, bagaimanapun kerajaan mesti berlaku adil dan mengakui memang ada beberapa perkara yang sebelum ini kurang koordinasi sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Saya melihat kerajaan telah terima teguran ini dengan baik dan ada penambahbaikan yang telah dilakukan. Teruskan dengan keterbukaan ini,” katanya.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/143262/BERITA/Politik/Najib-Asyraf-sengaja-petik-kenyataan-separuh-masak-Wan-Saiful