Pemimpin agama mempunyai peranan penting untuk menangani dan menghentikan faham pelampau daripada berakar umbi dalam masyarakat, kata ahli akademik.
Profesor Mark Woodward dari Universiti Arizona berkata tokoh berpengaruh dan dihormati seperti pemimpin agama mempunyai tanggungjawab sosial, perlu berani menyebarkan pengetahuan bagi membetulkan anggapan salah yang sering digunakan untuk menyemai kebencian dan faham pelampau.
“Pemimpin agama mempunyai peranan dan tanggungjawab sangat penting serta unik bagi menghentikan faham pelampau…sama sepertimana mereka memanupulasinya untuk mencetuskan konflik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama selepas menyampaikan ceramah pada Simposium Antarabangsa ‘Religious Values on Preventing & Countering Violent Extremism’ anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, dekat sini, hari ini.
Woodward, yang mempunyai kepakaran dalam kajian agama dan masyarakat berkata walaupun kebanyakan masalah mungkin disebabkan isu ekonomi atau geopolitik, ia menjadi lebih kompleks serta semakin sukar diselesaikan apabila turut melibatkan agama.
“Seringkali orang menggunakan terminologi dan retorik agama ketika membicarakan isu yang pada asasnya berkaitan geopolitik atau ekonomi.
“Adakalanya, masalah mungkin bermula atas faktor ekonomi, tetapi apabila membabitkan agama, ia menjadikan lebih sukar diselesaikan,” katanya.
Tambahnya, ahli politik juga harus mengelak menggunakan agama sebagai alat politik untuk kepentingan peribadi.
“Pemimpin agama dan politik mesti mempunyai keberanian untuk menentang apa yang salah walau hakikatnya ia akan membuatkan mereka tidak popular,” kata Woodward.
BERNAMA