Pembinaan Hospital Bachok disambung semula bulan depan, gagal siap Disember tahun lepas

Pembinaan Hospital Bachok disambung semula bulan depan, gagal siap Disember tahun lepas.Kerja-kerja pembinaan Hospital Bachok bernilai RM141 juta yang dimulakan pada 2016 namun terbengkalai sejak hampir setahun lalu, disambung semula pada pertengahan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika memberi jaminan tersebut memberitahu, projek pembinaan Hospital Bachok bermula pada 27 September 2016 dan sepatutnya siap Disember tahun lalu.

Namun katanya, pihak kontraktor gagal menyiapkan projek tersebut mengikut jadual ditetapkan dengan alasan tidak cukup pekerja selain berdepan masalah kewangan.

“Akibat kegagalan pihak kontraktor, penduduk menyalahkan wakil rakyat dan kerajaan. Jadi, kita mengambil serius perkara ini dan telah melantik kontraktor baharu bagi memastikan projek ini dapat berjalan semula.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) telah mengeluarkan tender baharu pada 11 Mei lalu. Surat setuju terima akan dikeluarkan kepada kontraktor yang dipilih dalam masa terdekat dan kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada pertengahan Oktober,” katanya.

Hospital

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Hospital Bachok, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli memberitahu, projek tersebut setakat ini telah siap 70 peratus dan kontraktor baharu kelak hanya perlu menyiapkan baki 30 peratus pembinaan hospital itu dalam tempoh 18 bulan.

“Kelewatan pihak kontraktor terdahulu ternyata memberi kesan terutamanya penambahan kos pembinaan dan ini akan merugikan semua pihak.

“Apabila siap, projek ini memberi kemudahan kepada penduduk Bachok kerana tidak perlu lagi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu atau Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian untuk menerima rawatan,” katanya.

Pembinaan Hospital Bachok merangkumi wad 76 katil, pejabat pentadbiran, kafeteria, perkhidmatan pesakit luar dan kemudahan lain seperti kuarters kakitangan, kawasan letak kereta, surau, bangunan sokongan seperti rumah sampah dan loji rawatan air

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/pembinaan-hospital-bachok-disambung-bulan-depan/

BACA: 3 piramid cetus pengalaman misteri kepada pengunjung Gua Kelam

COMMENTS

Wordpress (0)