Pemberian Subsidi Tidak Terkawal Boleh Runtuhkan TH

Lembaga Tabung Haji (TH) dibimbangi akan akhirnya terpaksa ditutup dan tidak dapat menjalankan tanggungjawab asal sekiranya terus memberikan subsidi yang besar bagi membiayai kos haji yang semakin meningkat.

Pakar Kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkata, pada tahun 2009 kos haji bagi setiap Jemaah ialah sebanyak RM12,420 dengan bayaran yang dikenakan terhadap jemaah haji ialah sebanyak RM9,980. Katanya, jumlah subsidi bagi setiap ahli Jemaah yang diberikan oleh TH pada waktu itu hanyalah RM2,440 iaitu 19.6 peratus daripada kos haji.

Bagaimanapun, pada tahun 2019 kos untuk melaksanakan haji telah meningkat sehingga RM22,900, bagi mengekalkan kos haji kepada setiap ahli pada kos RM 9980, maka jumlah subsidi yang perlu diberikan TH ialah sebanyak RM12,920 atau 56.4 peratus daripada kos haji.

“Steiap tahun kos haji meningkat tapi tahun 2018 adalah yang pertama berlaku dalam sejarah TH, jumlah subsidi melebihi kos tanggung Jemaah, jadi tidak boleh disamakan dengan tahun-tahun dahulu dan yang sekarang. Mana boleh diharapkan TH beri subsidi melebihi kos tanggungan ahli Jemaah untuk selama-lamanya apatah lagi dalam kedudukan kewangan TH yang tidak sihat.

“Jika TH terus memberikan subsidi terlalu tinggi, kemungkinan TH tidak akan dapat kekal bertahan di Malaysia untuk terus menjalankan fungsi sebenar mereka kepada jemaah haji di negara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam. Zaharuddin yang juga Presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) serta Profesor Adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Unisel berkata, subsidi yang diberikan kepada jemaah haji bukan daripada kerajaan sebaliknya atas ehsan TH.

“Duit pendeposit TH seramai 9.3 juta orang inilah yang diniagakan dan mendapat keuntungan inilah dapat membantu 30,200 jemaah haji pada setiap tahun jadi bukan kerajaan atau Kementerian Kewangan yang berikan duit untuk bayar subsidi. Pada masa yang sama, pendepositor juga mengharapkan hibah simpanan. Jadi duit untung bisnes oleh TH perlu dibahagikan kepada dua, untuk subsidi dan untuk hibah” katanya.

Menurut beliau, adalah tidak adil kepada mana-mana pihak untuk mengecam TH sebagai zalim kerana institusi kewangan Islam itu kini berada dalam keadaan kewangan yang sukar. Tidak patut juga seseorang yang ingin menjadi peneman haji anggap wajib ke atas TH memberi mereka subsidi sebanyak 56.4 % dari kos keseluruhan haji. “Subsidi ini adalah ehsan dan diumpamakan sebagai hadiah, jadi tidak boleh marah jika orang sudah tidak lagi mampu bagi hadiah pada kita dan kita kata zalim. “Padahal kewajiban pergi haji hanya wujud bila wujudnya istita’ah individu tersebut, namun sekarang kita bebankan majoriti istiaáh kepada TH, itu kurang wajar juga. Walau dalam keadaan itupun TH masih kekal beri subsidi melebihi dari tanggungan Jemaah Haji, cuma dalam kes rayuan dan peneman sahaja yang perlukan semakan, bagi saya itu sudah dianggap sangat wajar bagi kedua-dua pihak. Juga, kalau TH tidak mampu, hendak marah macam mana?, sedang TH sendiri pun sedang susah, bayangkan 56.4 peratus dari kos Haji ditanggung oleh TH,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berkata, langkah TH untuk mempertimbangkan kadar kemampuan bagi pengiring dan jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk menunaikan fardu haji daripada membayar kos penuh tanpa subsidi dilihat wajar. “Ini kerana terdapat pengiring yang kaya dan ada antara mereka sudah pun menunaikan ibadah haji sementara jemaah yang berjaya dalam rayuan pula telah mengambil giliran orang lain.“ . “Sejak dahulu sehingga tahun 2017, tidak pernah Tabung Haji terpaksa bayar lebih dari Jemaah untuk tanggung kos haji. Namun semenjak 2018, peningkatan kos haji tanpa kenaikan kos yang perlu dibayar oleh Jemaah, tentunya menyukarkan TH” kata Zaharuddin lagi.

Tetapi sekiranya benar terdapat pengiring yang benar-benar miskin dan tidak mempunyai kemampuan kewangan, saya yakin mereka ia akan tetap dibantu oleh TH,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zaharuddin menjelaskan, kewajipan haji dalam Islam yang sebenar ialah Istito’ah atau kemampuan diri, kesihatan keselamatan perjalanan pergi dan pulang, kemampuan dari segi kewangan termasuk kemampuan untuk mendapatkan visa haji.