Pembangkang mesti berani buat perubahan, jika tidak bakal ditolak rakyat – Shafie

Pembangkang mesti berani buat perubahan, jika tidak bakal ditolak rakyat – Shafie

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal hari ini berkata pembangkang pada hari ini berdepan dengan dua pilihan untuk menghadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu berani membuat perubahan atau kekal di takuk lama.

Berucap di perhimpunan agung partinya di Kota Kinabalu, bekas ketua menteri Sabah itu berkata pembangkang perlu berani melakukan perubahan kerana sebelum ini – dengan kerjasama yang dilakukan – mereka berjaya mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya pada masa sama rakyat memang mahukan perubahan di negara ini.

“Bukan mudah apabila kita inginkan perubahan tetapi yakinlah, apabila barisan pimpinan pembangkang masih di takuk lama, berpaut pada cara yang ada, tidak mungkin rakyat akan berpihak kepada kita untuk jadi pilihan mereka.

“Kita kena susun atur langkah kita,” katanya dalam ucapan yang jelas memiliki banyak maksud tersirat.

Untuk rekod sebelum mengetuai Warisan menjelang PRU ke-14 lalu Mohd Shafie pernah menjadi naib presiden Umno sebelum muncul skandal 1MDB yang menyaksikan sejumlah pemimpin kanan parti itu dipecat, digantung atau beralih arah.

Selepas Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan Feb lalu, pembangkang berdepan dengan isu kepemimpinan dengan sesetengahnya kekal menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, manakala bekas perdana menteri mencadangkan Mohd Shafie.

Kena segera bangkit semula

Menurut Mohd Shafie selain perubahan pimpinan rakyat juga mahukan hala tuju yang jelas bagi pembangkang.

Jika tidak katanya rakyat tidak akan memihak kepada pembangkang kerana mereka mahukan perubahan ke arah kebaikan, bukan sebaliknya.

Dia turut memberi amaran jika pembangkang tidak berani melakukan perubahan, maka mungkin akan menderita pada PRU ke-15.

“Sekiranya pembangkang tidak membuat perubahan untuk bersatu tetapi juga merancang masa depannya, maka DAP, PKR, Amanah atau Warisan – jika kita tidak berani membuat perubahan – maka percayalah, rakyat tidak akan memilih kita pilihan raya,” katanya.

Pada masa sama anggota parlimen Semporna itu juga mengingatkan sekarang bukanlah masa untuk pembangkang bersedih selepas dijatuhkan beberapa bulan lalu, sebaliknya bangkit segera.

Merujuk kepada dirinya sendiri Mohd Shafie berkata dia menghabiskan masa bertahun-tahun sebagai pembangkang termasuk pada era 1980-an di Sabah.

“Jangan bimbang, saya biasa jadi pembangkang. Bukan lima tahun, berpuluh tahun masih tidak ada jawatan, tidak ada projek,” katanya.

Pada masa sama dia meminta penyokong parti itu agar tidak berputus asa selepas gabungan Warisan Plus gagal mendapat sokongan mencukupi untuk terus menjadi kerajaan Sabah pada Sept lalu.

Menampilkan dirinya sebagai pemimpin nasional, Mohd Shafie juga membangkitkan sifat berbilang budaya di Sabah yang menurutnya harus menjadi contoh Malaysia.

“Sabah boleh dianggap sebuah adunan masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup dalam satu rumah.

“Ini adalah contoh Malaysia yang sepatutnya. Bukan berlandaskan satu bangsa, satu agama. Kita perlu pelihara semua bangsa dan semua agama, tak kira dari mana mereka datang.

“Kita nak Malaysia maju. Kalau kita nak negara Malaysia bersatu kita perlu gembelingkan tenaga kita,” katanya.

Turut sama buat keputusan

Shafie turut menekan bahawa dia ingin membangunkan sebuah “negara” dan bukannya bangsa atau agama semata-mata.

Merujuk kepada pembangkang, Mohd Shafie berkata ada sesetengah pemimpin berpendapat mereka paling sesuai untuk mengetuai negara ini kerana kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.

Namun, dia menjelaskan bahawa pemimpin yang tidak dikenali kini berkuasa.

“Ada pimpinan yang menganggap mereka sesuai untuk terus terajui negara. Mereka yang jadi pilihan. Mereka terkenal di bumi mana-mana. Pemimpin terkenal antarabangsa,” katanya.

Namun menurut Mohd Shafie, orang ramai tidak pun mengenali Barack Obama semasa senator itu menawarkan diri menjadi calon presiden AS, selain timbalan presiden AS sekarang, Kamala Harris.

Mohd Shafie juga menyuarakan sokongannya kepada rancangan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Katanya jika Umno dan PH boleh berkembang ke Sabah, tidak ada sebab mengapa Warisan tidak dapat berkembang ke Semenanjung Malaysia.

“Sudah tiba masanya Sabah tidak hanya terlibat dalam rundingan dengan tetapi juga menjadi pembuat keputusan di Malaysia,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554945

COMMENTS