Peluang saksikan ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis

Selain terkenal dengan julukan ‘syurga makanan laut’, Kuala Perlis juga istimewa apabila perairan di sini menjadi antara ‘lubuk’ atau tarikan ikan lumba-lumba khususnya jenis Indo Pacific Humpback.

Siapa sangka, meskipun perairan Kuala Perlis tidak seindah pantai-pantai lain seperti Pulau Langkawi atau sebagainya, ia tetap menjadi ‘pilihan’ ikan lumba-lumba yang ramai berhasrat melihatnya secara dekat.

Difahamkan sekitar 200 hingga 300 ekor ikan lumba-lumba berada di perairan Kuala Perlis ketika musim kemarau antara Disember hingga April dengan kelibatnya boleh dilihat di pesisir pantai di sini.

Peluang saksikan ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis

KELIBAT beberapa ekor Ikan lumba-lumba berenang di perairan Kuala Perlis.

Antara faktor utama perairan Kuala Perlis sepanjang 10.5 batu nautika dari garis pantai tersebut menjadi tumpuan ikan lumba-lumba kerana kawasan berkenaan kaya dengan sumber makanan.

Selain itu, Kuala Perlis yang terlindung dengan kepulauan Langkawi dari arah barat dan di sebelah utara pula bersambung dengan lautan andaman selatan Thailand menjadikan airnya selalu tenang serta menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies marin.

Kewujudan ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis dikatakan sejak puluhan tahun lalu dan belasan tahun kebelakangan ini, ikan berkenaan kerap kelihatan dalam jarak menghampiri pantai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, selain Kuala Perlis, Langkawi di Kedah dan Kuala Sepetang di Taiping, Perak turut menjadi tumpuan ikan berkenaan.

Katanya, kelibat ikan lumba-lumba kerap ditemukan di perairan Kuala Perlis dengan para nelayan sering bercerita mereka nampak ikan tersebut bermain-main di tengah laut.

Ujarnya, sifat ikan lumba-lumba ialah memburu mangsa hidup sebagai makanannya dan tidak makan bangkai.

“Biasanya, kes ikan lumba-lumba yang terdampar disebabkan haiwan itu mencari makanan seperti ikan belungkang yang banyak berada di pesisir pantai.

“Apabila air surut dengan cepat, ikan lumba-lumba tersebut tidak sempat untuk berenang kembali ke tengah laut dan akhirnya terdampar di tepi laut. Kelibat ikan tersebut lazimnya ketika air pasang dan cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, Syamil memberitahu, antara spesies unik lain yang pernah ditemukan di perairan Kuala Perlis adalah ikan Yu Paus yang mempunyai berat boleh mencecah 15 tan metrik.

“Malah, semalam, sahabat saya yang juga salah seorang pengasas PNW menemukan ikan Yu Paus dianggarkan seberat lima tan metrik di perairan Kuala Perlis pada jarak enam batu nautika dari pantai Kuala Sungai Baru.

“Tidak sangka pula sahabat saya boleh menemukan ikan tersebut yang jarang-jarang dijumpai di sini (perairan Kuala Perlis). Ikan Yu Paus yang ditemukan itu lebih besar daripada bot gentian kaca nelayan.

“Ikan tersebut juga jika ditemui khususnya semasa cuaca cerah dan lazimnya berada sekitar tiga hingga enam batu nautika dari pantai,” katanya.

Katanya lagi, perairan Kuala Perlis ini cukup istimewa dan menjadi tumpuan pelbagai spesies unik.

Berita Penuh : https://utusan.news/berita/2021/09/kuala-perlis-lubuk-ikan-lumba-lumba/

BACA JUGA : Najib ingatkan Ismail Sabri agar jangan lakukan kesilapan saat ini