Peletakan jawatan Larry Sng baik untuk PKR, kata penganalisis

Peletakan jawatan Larry Sng baik untuk PKR, kata penganalisis

PKR Sarawak dijangka akan mengosongkan jawatan pengerusi parti sehingga pilihan raya negeri ke-12 selesai. Ini bagi menghalang sebarang usaha menggulingkan kepimpinan tertinggi parti oleh musuh-musuh politik.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata tiada keperluan untuk parti berkenaan terburu-buru dalam melantik pengerusi baharu bagi menggantikan Larry Sng. MP Julau itu mengesahkan peletakan jawatannya Ahad lalu.

“Saya fikir tidak ada sebarang pengumuman dari PKR mengenai pengerusi baharu dalam waktu terdekat , memandangkan jawatankuasa negeri boleh memimpin parti termasuk ketika pilihan raya,” beliau menjelaskan ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata pengunduran Sng bukanlah hal yang mengejutkan dan sudah tiba saatnya PKR “membersihkan” parti itu.

Sng memulakan kerjaya politiknya dengan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) pada 2001, sebelum beliau keluar untuk menyertai Parti Rakyat Sarawak PRS. Beliau kemudian dipecat parti itu dalam cubaannya untuk menggulingkan presiden parti.

Pada 2012, beliau menubuhkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebelum meninggalkan parti tersebut untuk bergerak sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-14. Beliau memenangi pilihan raya tersebut dan menyertai PKR pada tahun 2018.

Beliau mengambil alih jawatan pengerusi PKR Sarawak selepas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, keluar parti tahun lalu.

“Jadi ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Sng memutuskan untuk tidak lagi bersama PKR kerana selama ini beliau sering lompat parti. Beliau seolah-olah tidak mempunyai pendirian politik yang kuat. Peletakan jawatan beliau adalah satu hal yang baik buat PKR,” kata Awang Azman.

Tambahnya lagi, PKR Sarawak sekarang hendaklah memberikan tumpuan bagi menarik pengundi dalam kalangan golongan muda professional, berbanding persoalan siapa yang akan menjadi pengerusi.

Parti tersebut dilihat kekal relevan di Sarawak biarpun kini hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Miri, Michael Teo, bagi memastikan proses semak imbang.

Terdahulu, PKR Sarawak mempunyai 6 Ahli Parlimen selepas Sng dan wakil rakyat Lubok Antu, Jugah Muyang, yang menang PRU-14 atas tiket bebas menyertai PKR pada 2018. PKR juga menguasai tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun Baru; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin; dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, mengumumkan keluar parti ketika krisis politik negara memuncak tahun lalu. Ia diikuti dengan Ahli Parlimen yang lain secara berasingan.

Sementara itu, penganalisis politik James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania juga berpandangan sama. Peletakan jawatan Sng bukanlah hal yang mengejutkan memandangkan desas-desus mengenai hal tersebut sudah diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

“Beliau hanya boleh menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Beliau tidak boleh menyertai PPBM kerana beliau bukan Bumiputera. Jadi apa yang menarik sekarang ialah parti mana yang akan dia sertai?.

“Beliau tidak akan menyertai mana-mana parti buat masa ini sebelum beliau melakukan apa yang hendak beliau lakukan. Saya yakin beliau sudah mempunyai rancangan mengenainya.Hanya menunggu waktu yang sesuai,” tambah Chin.

Chin juga berpandangan peletakan jawatan Sng menunjukkan sejauh mana perpecahan dalam kalangan gabungan pembangkang di Sarawak. Ini sekaligus memberi manfaat kepada parti komponen yang memerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya yang akan datang.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/02/penganalisis-simpulkan-peletakan-jawatan-larry-sng-baik-untuk-pkr-sarawak/