Pelantikan TPM perlu ditangguhkan dahulu

Pembentukan Kabinet adalah lebih penting berbanding pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri kerana jawatan nombor dua dalam hierarki kepimpinan negara itu tidak mempunyai peranan yang besar.

Susulan itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berkata pelantikan Timbalan Perdana Menteri boleh ditangguhkan selama beberapa bulan.

Pelantikan TPM perlu ditangguhkan dahulu

Beliau berkata, penangguhan pelantikan itu bukannya luar biasa kerana bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya melantik timbalannya pada minggu terakhir sebelum berundur.

Katanya, soal pelantikan Timbalan Perdana Negeri boleh diuruskan selepas menilai tahap kepuasan hati semua parti gabungan kerajaan berhubung pengagihan kerusi Kabinet dan penerimaan rakyat terhadapnya.

“Perlu selesaikan pembentukan Kabinet dulu sebab itu lebih penting sebenarnya. Dalam sejarah politik Malaysia, Timbalan Perdana Menteri itu satu jawatan yang tiada peranan besar.

“Apabila Perdana Menteri bercuti atau sakit, barulah diberi kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri, malah sejak era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, ramai Timbalan Perdana Menteri tidak berpeluang jadi Perdana menteri pun,” katanya kepada BH, hari ini.

Kerusi Timbalan Perdana Menteri kini menjadi tumpuan utama dengan calon daripada BERSATU iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disebut-sebut akan dilantik.

Pada masa yang sama, beberapa parti Sabah dan Sarawak turut mendesak supaya pemimpin dari dua negeri itu dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Ditanya siapa yang akan menggalas tugas sebagai pemimpin nombor satu negara sekiranya Perdana Menteri bercuti atau ada masalah kesihatan, Jamaie berkata, ia boleh disandang menteri kanan.

Katanya, ia bersamaan dengan amalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang mempunyai beberapa menteri kanan.

“Tidak semestinya melantik menteri kanan dalam Kabinet kerana dari dulu, menteri yang memegang portfolio pertahanan, pendidikan, luar negara dan kewangan dianggap sebagai menteri kanan.

“Cuma istilah itu diperkenalkan secara rasmi ketika pentadbiran Muhyiddin,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata walaupun Timbalan Perdana Menteri tidak disebut dalam Perlembagaan, jawatan itu perlu diisi.

Katanya, ini mengambil kira keadaan semasa negara yang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.

“Kita tidak memerlukan menteri kanan, yang diperlukan adalah seorang Timbalan Perdana Menteri bagi mengimbangi peranan Perdana Menteri.

“Walaupun tidak wujud dalam Perlembagaan dan tiada punca kuasa, sekurang-kurangnya dalam keadaan kritikal tertentu kita ada seseorang yang boleh memangku tugas Perdana Menteri kerana negara tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu,” katanya.

Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, adalah wajar pemimpin daripada BERSATU dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, sekali gus dapat meredakan kegelisahan hubungan antara UMNO dan BERSATU.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/855943/tangguh-dulu-pelantikan-tpm

BACA JUGA : PH setuju ketepikan ‘politiking’, tumpu selesai covid-19 dan ekonomi rakyat