Pelantikan empat hakim wanita menjadi contoh terbaik kepada wanita muda

 

teresa-kok-2_20181016155008_theedgemarkets.jpg

Pelantikan empat hakim wanita dalam badan kehakiman negara bukan sahaja mencerminkan mereka berpengetahuan luas dalam undang-undang malah ia menjadi contoh baik kepada semua wanita muda di Malaysia, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Rohana Yusuf di atas pelantikannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

“Juga, tahniah buat Datuk Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim di atas pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan,” kata Teresa Kok yang juga Menteri Industri Utama dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah bahawa kenaikan pangkat yang bersejarah ini menjelaskan bahawa kelayakan, kemahiran dan pengetahuan adalah dihargai dalam Malaysia Baharu.

“Mempunyai keragaman gender di peringkat tertinggi kehakiman sudah tentunya satu langkah positif dan memang sepatutnya dipuji,” katanya.

Semalam, Rohana, 63, sebagai hakim Mahkamah Persekutuan menjadi wanita pertama dinaikkan ke jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, kedudukan kedua tertinggi dalam kehakiman.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi itu dalam badan kehakiman dengan pelantikannya pada 2 Mei.

Tiga lagi hakim wanita Mahkamah Rayuan ialah Zaleha, 54, Zabariah, 60, dan Hasnah, 60, dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Dengan semua pelantikan itu, hakim wanita di Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini, kini seramai enam orang daripada keseluruhan 13 hakim.

BERNAMA