Pelan pemulihan Tabung Haji era PH terus membuahkan hasil positif

Pelan pemulihan Tabung Haji era PH terus membuahkan hasil positif

Prestasi kewangan Tabung Haji (TH) yang diumumkan pada 30 Disember 2020 menunjukkan kedudukan kewangan TH semakin kukuh dan baik dengan menunjukkan jumlah deposit sebanyak RM75.9 billion berbanding akhir 30 Disember 2019 yang hanya mencatatkan RM69.42 billion. Malah dijangka hasil dividen yang bakal diumumkan kelak sepatutnya lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kedudukan prestasi yang baik ini adalah hasil pelan pemulihan era Pakatan Harapan (PH).

Faktanya, Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH yang dibuat sebelum ini merupakan komitmen kerajaan PH untuk menyelamatkan TH yang bergelut dengan pelbagai krisis, misalnya krisis kecairan akibat pengeluaran deposit secara besar-besaran (bank run) sekiranya TH tidak mampu mengagihkan hibah di masa hadapan serta bagi mengelakkan impak negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 24, Akta Tabung Haji yang mana pendeposit dijamin oleh kerajaan. Paling penting, kebobrokan yang berlaku ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) merupakan salah punca utama pemulihan ini diperlukan.

Bahkan demi komitmen memastikan institusi umat Islam ini terus terbela, kita telah membuat pelan pemulihan TH menerusi syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang membeli aset TH yang hanya bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion. Kerajaan PH juga telah membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada TH dan membiayainya dalam tempoh 10 tahun dari 2020 hingga 2030 bagi memulihkan agensi itu. Bermakna, kerajaan akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

Situasi buruk yang dihadapi Lembaga PH sudah berakhir apabila pelan pemulihan untuk menstabilkannya telah pun membuahkan hasil. Kesan daripada Pelan Penstrukturan dan Pemulihan ini, TH telah merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion berbanding liabilitinya berjumlah RM75.5 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. Pendapatan TH pada tahun 2018 adalah RM4.2 bilion manakala untung boleh agih adalah sebanyak RM2.0 bilion. Berdasarkan dari prestasi kewangan ini telah membolehkan TH membuat pengagihan hibah untuk tahun 2018 selaras dengan Akta Tabung Haji 1995.

Ketika ini, pelan pemulihan aset Lembaga TH telah menunjukkan benih pemulihan dengan janaan keuntungan RM1.3 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 2019 dengan jumlah aset menunjukkan penambahan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion. Pemuda AMANAH merakamkan tahniah atas usaha mantan Menteri Agama YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf serta seluruh kakitangan kementerian dan agensi-agensi berkaitan yang telah membuat keputusan yang tepat pada waktu itu serta bertungkus-lumus memperbaiki kelemahan serta membuat penambahbaikkan dalam strategi memulihkan TH.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
04 Januari 2021 | 20 Jamadil Awal 1442H

Sumber :