Pelajar Kolej Matrikulasi N Sembilan diarah jalani kuarantin susulan beberapa pelajar positif Covid-19

Pelajar Kolej Matrikulasi N Sembilan diarah jalani kuarantin susulan beberapa pelajar positif Covid-19

Pelajar di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di Seremban diarah menjalani kuarantin selepas beberapa pelajar positif Covid-19 baru-baru ini.

Malaysiakini difahamkan ahli keluarga telah dimaklumkan bahawa kolej matrikulasi tersebut tidak membenarkan sebarang lawatan sehingga tarikh yang akan diberitahu.

Kes-kes tersebut dilaporkan berlaku hanya dalam beberapa hari selepas kerajaan mengumumkan tiada keperluan bagi pelajar menjalani ujian swab Covid-19 sebelum kembali ke asrama atau kolej masing-masing.

Menurut beberapa sumber yang berkaitan dengan kolej itu, sekurang-kurangnya sekumpulan pelajar ditempatkan di bawah kuarantin setelah mereka didapati sebagai kontak rapat dengan mereka yang positif.

“Setakat ini, terdapat 12 pelajar, yang dianggap sebagai kontak rapat dengan pesakit pertama, telah disaring oleh pihak berkuasa,” kata sumber yang mengatakan sekurang-kurangnya 100 lagi pelajar kini berada dalam kampus.

Malaysiakini mendapati sekurang-kurangnya dua kes telah dikesan di kalangan pelajar KMNS setakat ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kes lain selepas kes pertama telah dikesan ketika aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan atau sebaliknya.

Usaha mendapatkan pengesahan dan maklum balas dari Kementerian Pendidikan, KMNS dan exco kesihatan Negeri Sembilan setakat ini tidak berjaya.

Salah seorang sumber, yang merupakan keluarga terdekat pelajar berkata KMNS telah mengeluarkan notis memberitahu arahan penutupan sementara dari 15 Jan hingga 22 Jan 2021, setelah kes pertama dikesan.

KMNS memaklumkan kafe di kolej akan terus beroperasi dalam tempoh tersebut, tetapi pelajar hanya dibenarkan bawa pulang makanan dan minuman.

“Ibu bapa tidak dibenarkan berjumpa dengan pelajar-pelajar untuk menghantar barang-barang dalam tempoh ini.

“Pelajar juga tidak digalakkan untuk memesan makanan melalui perkhidmatan penghantaran makanan,” menurut notis yang dilihat oleh Malaysiakini.

Difahamkan walaupun aktiviti kelas secara fizikal telah ditangguhkan, para pelajar masih perlu menghadiri kelas atas talian.

Pada 15 Jan, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata sekolah dan institusi pendidikan tinggi tidak dibenarkan mengarahkan pelajar menjalani ujian swab sebelum mereka kembali ke institusi masing-masing. – MK