Pekerja Hotel Primula Beach lega akhirnya hotel ditutup

Pekerja Hotel Primula Beach lega akhirnya hotel ditutup.Pekerja Hotel Primula Beach di Kuala Terengganu menarik nafas lega susulan penutupan sementara hotel itu namun mendakwa tindakan itu diambil amat lewat, selepas puluhan pekerja dan kalangan ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19.

Pekerja yang diwawancara berkata walaupun banyak kes dikesan melibatkan pekerja hotel milik kerajaan negeri itu sejak Ogos lalu, notis penutupan selama dua minggu hanya dikeluarkan pada 5 September.

“Covid-19 ini bahaya, kami dalam kalangan pekerja ini tertanya-tanya kenapa hotel tidak tutup, sedangkan hotel lain ada dua atau tiga kes dah tutup. Tetapi (hotel) ini, dah berbelas orang yang kena pun, hotel buka lagi,” kata seorang pekerja.

Menurut seorang lagi pekerja, kakitangan hotel Primula mula dijangkiti Covid-19 sejak pertengahan Ogos lalu, malah sebelum penutupan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) sudah terdapat 29 kes positif.

Wabak itu pada mulanya melibatkan petugas bahagian dapur sebelum merebak ke bahagian lain.

Hotel

Rata-rata pekerja yang diwawancara FMT enggan nama mereka didedahkan kerana bimbang diambil tindakan oleh majikan.

Seorang pekerja mendakwa pihak berkuasa hanya mengambil tindakan setelah Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah mendedahkan situasi di hotel itu pada minggu lalu.

Beliau berkata ketika pendedahan itu dibuat, wabak Covid-19 bukan hanya menjangkiti pekerja tetapi juga telah menular dalam kalangan anggota keluarga mereka.

“Kalau Raja Kamarul tidak bersuara saya rasa sampai sekarang hotel masih tak tutup, (walaupun), ada yang sampai anak dan isteri pekerja pun kena Covid-19.”

Raja Kamarul ketika dihubungi FMT berkata, beliau telah didatangi oleh lebih daripada 10 kakitangan Primula yang takut untuk bersuara kerana risau mereka akan kehilangan pekerjaan.

“Mereka takut pulang dan menjangkiti keluarga mereka.”

Pada 6 Sept lalu pemimpin Amanah itu mendakwa kerajaan Terengganu berpeluk tubuh berhubung penularan Covid-19 di hotel berkenaan.

“Timbul persoalan kenapa tiada sebarang pengumuman awam secara meluas dibuat tentang insiden positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 6 September lalu.

Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun sebelum ini berkata, notis penutupan dikeluarkan oleh PKDKT setelah mengambil kira penilaian risiko dari kes Covid-19 pertama yang dilaporkan.

Jelasnya, penutupan salah satu dari empat dapur hotel pada 29 Ogos adalah berdasarkan penilaian risiko bahawa jangkitan hanya tertumpu di kawasan itu.

Setelah penularan melibatkan bahagian hotel yang berlainan, PKDKT memerintahkan penutupan seluruh premis ditutup bermula 5 hingga 18 September.

Dalam pada itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Alias Razak menafikan tuduhan Raja Raja Kamarul bahawa kerajaan negeri tidak mengambil berat isu berkenaan.

Beliau berkata segala pertimbangan mengenai penutupan hotel itu tertakluk kepada bidang kuasa PKDKT dan Kementerian Kesihatan (KKM) sepenuhnya.

“Kita maklum sepenuhnya situasi di hotel itu tetapi kuasa (menutup) terletak kepada prosedur pihak kesihatan negeri. Kita ikut peraturan dan SOP yang disediakan,” kata beliau kepada FMT.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/11/kami-lega-tapi-patut-tutup-lebih-awal-kata-pekerja-hotel-primula-beach/

BACA: Kematian Covid-19 individu lengkap vaksin, Sinovac mendahului