Pejuang mahu semua pihak berhenti desak batal darurat – Mukhriz

Pejuang mahu semua pihak berhenti desak batal darurat – Mukhriz

Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menyifatkan sekarang bukan masa sesuai untuk mana-mana pihak menggerakkan usaha ke arah mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, justeru beliau berharap semua pihak di blok pembangkang menghentikan usaha untuk mencabar pelaksanaan darurat di negara ini.

Katanya, negara masih bedepan ancaman COVID-19 dan keutamaan semua pihak ketika ini adalah memikirkan tentang keselamatan dan kebajikan rakyat.

Mukhriz berkata, pembentukan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang turut disertai pembangkang juga menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tepat.

“Kami rasakan bahawa bukan masanya untuk adakan pilihan raya umum lagi. Biarlah habis penggal ini pun tak apa iaitu pada 2023.

“Tapi dalam tempoh sekarang sampai tempoh 2023, kalau ubah semula kerajaan tak apa asalkan jangan kita mendedahkan rakyat kepada risiko penularan wabak ini seperti mana yang berlaku setelah Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sanitasi Masjid di Jerlun, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap wakil-wakil pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dapat bersikap profesional dengan tidak membuat keputusan yang hanya bermotifkan politik.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/pejuang-tidak-mahu-pru15-dalam-masa-terdekat-enggan-desak-batal-darurat-muhkriz-282783