Pejabat Peguam Negara kemuka rayuan kes rasuah Ku Nan

Pejabat Peguam Negara kemuka rayuan kes rasuah Ku Nan

Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap pembebasan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Sumber Pejabat Peguam Negara ketika dihubungi media, berkata rayuan itu difailkan hari ini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan itu difailkan selepas meneliti keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Tengku Adnan daripada tuduhan itu, Jumaat lalu.

Peguam

Tengku Adnan dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 16 Julai lalu. 

Jumaat lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Tengku Adnan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin sependapat dengan Suraya manakala keputusan minoriti dibuat oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, Suraya, yang menyampaikan keputusan majoriti, berkata Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal untuk menimbangkan keterangan oleh saksi pendakwaan antaranya Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong; Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) Datuk Mohd Hasbi Jaafar dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani.

Katanya, mahkamah mendapati tiada dalam alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, bahawa beliau menimbangkan keterangan Kin Kong dan Mohd Hasbi bahawa cek RM2 juta itu adalah untuk perbelanjaan PRK.

“Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak menimbangkan kegagalan pendakwaan untuk menyoal semula saksi utamanya (Kin Kong) berhubung keterangan beliau ketika disoal balas bahawa RM2 juta itu adalah sumbangan politik kepada UMNO.

“Malah tiada sebarang cadangan dibuat oleh pendakwaan bahawa Kin Kong adalah saksi yang tidak jujur serta tidak bercakap benar,” katanya.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dikenakan terhadap Tengku Adnan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Tengku Adnan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes perbicaraan terhadap Tengku Adnan bermula pada 2 Julai 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Kin Kong.

Pada 14 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan selaku saksi pembelaan pertama memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac 2020.

Saksi pembelaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, Datuk Rizalman Mokhtar.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/841086/pendakwaan-rayu-keputusan-bebas-tengku-adnan

BACA JUGA : Tiada lagi kompaun RM50,000 selepas 1 Ogos