Pasca Konvensyen AMANAH – Medium Pertemuan Dan Wacana Politik Yang Segar Dan Menjanjikan

1. Saya dipilih buat julung kali membahaskan ucapan dasar Presiden Amanah sebagai mewakili Negeri Kedah pada tahun ini. Bukanlah senang berbahas mewakili negeri ini kerana pembahas konvensyen sebelum ini adalah nama besar dan berpengalaman serta orang lama dalam gerakan politik Islam Amanah seumpama Ustaz Rizdwan Abu Bakar dan Tuan Haji Adnan.

2. Saya memulakan ucapan saya dengan cuplikan ayat dari Surah Hud ayat 61. Ayat yang mensurahkan tugasan Nabi Soleh terhadap Kaum Tsamud yang menyeru kaumnya mengabdikan diri kepada Allah tanpa sekutu. Peringatan bahawa manusia dicipta dari bumi (tanah) dan peranan manusia memakmurkan bumi itu disamping seruan agar tidak lalai memohon ampun dan bertaubat kepada Allah.

3. Ayat ini pernah saya telaah bersama Dr Dzulkifly Ahmad ketika pernah bersama beliau di dalam parlimen penggal 2008 sehingga 2013 berkaitan peranan pemimpin Islam yang memerintah. Sekarang beliau adalah Menteri Kesihatan. Satu posisi yang sangat strategik bagi implementasi semangat ayat tadi.

4. Amanah ditaqdirkan menjadi sebahagian komponen kerajaan kerajaan. Memberi ruang kepada sebahagian besar pemimpin Amanah merealisasikan idealisma parti melalui kementerian-kementerian yang sangat strategik yang diterajui. Kementerian sensitif seperti pertahanan, urban seumpama wilayah, pertanian dan kesihatan yang sangat penting dan tanpa ketinggalan Kementerian Agama yang sangat dekat dengan idealisma perjuangan parti yang mendokong pandangan yang amanah, progresif dan peduli.

5. Cabaran pimpinan antara lain ialah menjadikan kuasa dan daulat itu semakin dekat dan menyelami denyut nadi keperluan rakyat. Pada masa yang sama cemerlang dan seimbang dalam menguruskan kementerian. Agensi strategik seumpama NAFAS, JAKIM, LKIM, agensi kerajaan negeri sehinggalah ahli majlis dan MPKK adalah sangat vital untuk penyebaran konsep rahmatan lil ‘alamin yang menjadi antara teras utama perjuangan Amanah.

6. Perlaksanaan dan kefahaman berkaitan fiqh aulawiyyat (keutamaan) amat perlu dalam perlaksanaan polisi dan agenda rakyat. Pak Menteri dan para pegawai yang komited diuji dengan legasi tinggalan kerajaan lama. Isu baja, benih padi, harga padi, racun dan subsidi adalah isu lapuk dan bertampuk.

7. Begitu juga cabaran Menteri Kesihatan, yang terpaksa berdepan dengan kesiksaan rakyat buat sekelian lama menanti berjam-jam bagi mendapatkan rawatan, isu parking, kekurangan doktor dan lain-lain. Isu program petrol bersasar juga adalah antara isu yang sangat sensitif yang perlu di bawa oleh konvensyen bagi pengetahuan kabinet. Perlaksanaan program ini akan meningkatkan suhu amarah rakyat yang sudahpun menggelegak akibat hasutan pembangkang. Pembangkang hanya akan mengitar semula isu tinggalan mereka tanpa kasihan belas. Awas, tanpa diurus dengan cermat, isu ini boleh bertukar tragedi yang pernah dilalui oleh Tun Abdullah Badawi. Konvensyen harini ini hantar isyarat jelas kepada kerajaan.

8. Politik Islam adalah politik yang inklusif. Islam adalah untuk semua. Dr Mujahid amat faqih dalam persoalan ini. Parti Amanah adalah parti teras dalam perjuangan Islam dalam Kerajaan PH. Antara agenda besar beliau ialah membawa konsep rahmatan lil ‘alamin, maqosid as syar’iyyah dan fiqh al Maliziy. Kerangka falsafah yang besar ini dibincangkan oleh ar Raisuni warisan kepakaran as Syatibi.

9. Bagaimana membumikan falsafah ini di dalam masyarakat yang rencam, majmuk dan baru keluar dari 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional adalah cabaran besar. Mudahnya bagi orang kebanyakan, maqosid baginoekebun getah adalah harga getah yang tinggi, harga sawit yang baik, harga padi yang tinggi, pekerjaan untuk anak muda, dan harga barang yang stabil. Mudahnya, maqosid adalah makan nasi. Padi, getah, sawit dan yang disenaraikan itu adalah nyawa mereka. Nyawa adalah antara perkara elemen penting maqosid.

10. Kelemahan komunikasi dan penerangan adalah dilema Parti Amanah dan Pakatan Harapan. Jawapan YB Dr Dzulkifli, YB Dr Mujahid, YB Khalid dan semua pimpinan yang memimoin kementerian adalah sangat baik. Namun kebaikan seumpama itu wajib disokong oleh media yang hebat.

11. Media Oren adalah wahana baru yang mewarnai pentas komunikasi terkini. Pemerkasaan media baru termasuk media sosial perlu diberi perhatian oleh parti. Dana yang lebih fokus dan terarah kepada masyarakat di samping pertembungan sebenar maklumat dalam adalah media sosial. Media konvensional yang khalayak tertentu.

12. Tanpa komunikasi yang berkesan, sesebuah organisasi akan kalah dalam perang persepsi. Amanah dan pemimpinnya melakukan terlalu banyak kebaikan dalam sektor agama, kesihatan, pertanian, pertahanan malah masyarakat bandar wajib disalurkan untuk pengetahuan rakyat.

13. Komunikasi penting bagi mengangkat kepemimpinan Amanah agar berdiri sama tinggi dengan pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

14. Program kepemimpinan pelapis juga adalah isu yang sangat penting. Melahirkan masyarakat yang memahami aspirasi kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya tiga penggal pemerintahan. Agensi-agensi kerajaan yang diterajui pemimpin Amanah adalah mekanisma yang wajar untuk dimanfaatkan.

16. Parti Amanah juga berdepan dengan cabaran politik melalui penubuhan Muafakat Nasional dan pengundi muda seawal umur 18 tahun. Sudah tentulah perlunya strategi ampuh berdwpan semua ini.

17. Saya mewakili Amanah Negeri Kedah mendengar dengan tekun jawapan Presiden, Tuan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin dan pimpinan yang lain. Jawapan yang tenang, menyakinkan dan amat matang diperlihatkan kepada perwakilan dan ahli. Saya secara peribadi percaya parti ini akan memberikan satu dimensi yang segar dalam gerakan politik Islam kontemporari.

Tahniah kepada seluruh kepimpinan Parti Amanah Negara sesi 2019-2022.

Ustaz Haji Mohd Nasir Zakaria
Pengarah Syariah Amanah Kedah
Ketua Amanah Padang Terap