Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara melabuhkan tirai secara rasminya pada Ahad, 10 Disember lalu. Kita menyaksikan kepimpinan tertinggi nasional yang lepas dikekalkan dengan semangat muafakat dan suasana harmoni yang dikatakan hanya mengambil masa 5 minit untuk para ajk nasional yang terpilih membuat keputusan.
Sebelum itu suasana muafakat juga telah ditunjukkan oleh sayap-sayap nasional AMANAH iaitu Pemuda Amanah Nasional dan Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional serta Wanita Muda Amanah (WARDA) Nasional dalam memilih barisan kepimpinan sayap. Yang sebelum ini dikatakan wujudnya kem-kem pasukan dengan pelbagai tanda pagar (hashtag) dan slogan kata (tagline) tetapi akhirnya para perwakilan membuat pilihan bijak apabila memilih secara seimbang diantara kem-kem ini dan diangkat menerajui sayap parti dengan hal ini paling ketara boleh dilihat di dalam sayap Pemuda Amanah Nasional. Tinggal lagi bagaimana para pimpinan ini mengemudi setiap pasukan dengan agenda penyatuan untuk bergerak dalam satu pasukan yang berjaya dan progresif.
Jika dilihat secara keseluruhan kepimpinan AMANAH Nasional sama ada pimpinan tertinggi mahupun sayap, majoritinya adalah dikalangan wajah-wajah lama yang bersama-sama membina parti ini di awal penubuhannya dengan hanya sebahagian kecil wajah baru yang diangkat sebagai pimpinan yang sebelum ini hanya memimpin di peringkat negeri dan kawasan. Besar harapan ahli di bawahan untuk melihat perubahan besar dalam memacu parti ini ke arah lebih berjaya dan benar-benar menjadi parti berteraskan Islam yang mampu memimpin ummah.
Satu perkara yang tidak boleh dinafikan dan dilihat mudah adalah pengorbanan ahli di semua peringkat yang turut sama-sama membina dan menjayakan parti ini sehingga berada di satu kedudukan yang baik hari ini. Di konvensyen lepas, boleh disaksikan pengorbanan para perwakilan dan pemerhati yang hadir dari seluruh Malaysia dengan pelbagai cara demi satu matlamat iaitu untuk sama-sama hadir menjayakan konvensyen nasional. Ada dikalangan perwakilan daripada kalangan pemuda sanggup mengambil cuti bekerja bahkan ada yang bercuti tanpa gaji untuk menghadiri konvensyen penuda yang diadakan di tengah minggu dan disambung terus ke konvensyen nasional.
Tidak kurang ramai yang mengeluarkan wang poket sendiri untuk berbelanja perjalanan pergi dan pulang tanpa berkira sedikit pun demi AMANAH. Inilah satu kelebihan ahli AMANAH yang tidak semua parti ada iaitu kesungguhan ahli yang tidak pernah berkira dari segi sumbangan tenaga dan masa walau banyak yang perlu dikorbankan dan suatu perkara yang perlu diakui, kebanyakkan mereka ini adalah dari kalangan ahli yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Barangkali mereka sedar yang mereka ini tidak punya banyak harta untuk disumbangkan jadi mereka hanya mampu menyumbang di dalam bentuk yang lain dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Dalam tidak sedar, ada juga dikalangan pimpinan yang diangkat diperingkat nasional sama ada sayap mahupun pimpinan tertinggi juga adalah daripada kalangan yang berpendapatan sederhana dan kecil.
Di hari pertama konvensyen boleh dilihat ramai yang memenuhi kerusi di tempat duduk dalam dan luar. Walau bagaimanapun, ketara perbezaan dilihat pada hari ketiga iaitu hari terakhir dengan pengurangan besar berlaku sehingga kerusi-kerusi di kawasan pemerhati hampir kosong sepenuhnya. Antara keluhan yang dinyatakan oleh para pemerhati yang hadir ialah mereka bergerak sendiri dengan kos yang dikeluarkan sendiri, jadi bila program yang berlangsung sehingga tiga hari mereka rasa sedikit beban kewangan.
Sedikit pun mereka ini tidak berkira dengan wang saku mereka untuk AMANAH. Hal “berkira” juga tak timbul soal hearaki kepartian sama ada dari atas ke bawah mahupun dari bawah ke atas. Ada kalanya peringkat bawahan seperti kawasan perlu membantu nasional seperti yang ditunjukkan di dalam konvensyen apabila speaker mengumumkan komitmen dan aku janji Amanah kawasan-kawasan untuk menyumbang sehingga puluhan ribu untuk Amanah nasional. Begitu juga sesetengah tempat di peringkat bawahan pula perlu dibantu oleh Amanah nasional dari sudut kewangan terutama di negeri dan kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang.
Hal yang sama juga berlaku pada individu-individu di dalam Amanah ini sendiri. Ada individu yang tanpa sebarang masalah mampu menyumbang kewangan dengan amaun yang besar bukan sahaja ribuan malahan ratusan ribu untuk parti. Begitu jugalah sebaliknya, ada individu di dalam parti memerlukan bantuan kewangan dari parti pula untuk bergerak kesana kesini menjalankan kerja-kerja pemerkasaan parti.
Sepatutnya tidak timbul isu ahli kawasan yang menjadi pimpinan di peringkat nasional tidak boleh dibantu dengan kewangan kawasan untuk dia bergerak di nasional kerana sudah pasti dia turut membawa nama kawasan mahupun negeri dalam setiap gerak kerjanya di nasional kerana tidak ada pimpinan di nasional ini yang tiada kawasan keahliannya kerana itu merupakan syarat wajib keahlian Amanah, berdaftar dengan kawasan yang sah. Jangan dipersoal komitmen ahli dan pimpinan dengan berkira-kira soal kewangan kalau diri kita yang diamanahkan tidak mampu melakukan perkara yang sama.
Amanah ini mujur sahaja dipenuhi dengan orang-orang yang baik dan berhati mulia. Yang kerap kali tidak berkira dalam banyak hal. Ahli bawahan perlu menyokong pimpinan atasan dan pimpinan atasan juga perlu membantu ahli bawahan. Begitulah adat berjemaah saling mengukuhkan, bukan meruntuhkan.
Yang punya wang, jangan berkira untuk memberi. Yang punya kudrat, jangan berkira untuk membantu. Yang punya idea, jangan berkira untuk melontarkan. Surah As-Saff Ayat 4, Allah SWT mengingatkan kita,
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
Fakhrul Razi Hamdan
AJK Pemuda Nasional
Parti Amanah Negara