Pasar borong Selayang buka seperti biasa walaupun PKPD

Pasar borong Selayang buka seperti biasa walaupun PKPD

Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang akan dibuka seperti biasa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan sekitarnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD hanya membabitkan kawasan perumahan berhampiran, yang mana ramai dalam kalangan penduduknya adalah rakyat Rohingya.

Pasar borong itu tidak ditutup. Penutupan adalah di kawasan perumahan kerana ramai dalam kalangan penghuninya adalah orang Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Pasar borong masih dibuka seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Katanya, PKPD keenam yang dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan itu membabitkan lapan parcel yang dikenal pasti.

Berita penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/679454/pkpd-pasar-borong-kl-buka-macam-biasa