Pas tetap dukung pendirian kerajaan PN tangani Covid-19, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Yang di-Pertuan Agong serius menitahkan hal berkaitan kes Covid-19 yang sedang melanda negara.

Tuan Ibrahim yang mewakili Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), menghadap Agong terdahulu hari ini berbincang hampir satu jam berhubung perkembangan isu Covid-19, darurat dan persidangan Parlimen.

“Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes Covid-19 yang sedang berlaku.

“PAS merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah ahli parlimen Kubang Kerian, parti itu juga telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk terus memobilisasi usaha membantu petugas barisan hadapan dalam semua inisiatif di bawah program vaksinasi kebangsaan.

Ini termasuk melancarkan kempen dan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan.

Hari ini, beberapa pemimpin parti politik menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Semalam, baginda menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – pertemuan mingguan sebelum mesyuarat kabinet – dan kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Difahamkan, antara isu yang menjadi topik perbincangan dalam pertemuan itu penularan wabak Covid-19 dan tempoh pelaksanaan darurat.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/578404