Pas tak boleh dedah strategi pilihanraya, kata Takiyuddin

Pas tak boleh dedah strategi pilihanraya, kata Takiyuddin

Pas tidak akan mendedahkan kepada umum berkaitan strategi yang akan digunakan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) terutama melibatkan soal pembahagian kerusi.

Kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika ini masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan, terutamanya di peringkat parti dan rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, katanya, tempoh tamat penggal kali ini adalah pada 2023.

Menurut Takiyuddin, perkara terbabit hanya akan dibincangkan secara terperinci di peringkat kepimpinan parti, sambil menambah, dia bukan orang yang sesuai untuk bercakap mengenainya.

“Itu akan dibincangkan di peringkat parti. Pilihan raya (PRU15) lambat lagi, 2023 bukan? Awal lagi. (Soal agihan kerusi) akan dibincangkan di peringkat kepimpinan parti (dan) saya tidak ada kedudukan untuk bercerita mengenai itu.

“Setiap parti yang masuk pilihan raya ada perancangannya sendiri, ada strateginya sendiri, sama ada pembangkang atau kerajaan, ada perancangannya sendiri.

“(Pas) ada strategi (tetapi) tidak boleh beritahu oranglah, kalau beritahu orang, itu tidak jadi strategi,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Malaysia Prihatin Peringkat Daerah Sik dan Baling di Dewan Gemilang, di sini, hari ini.

Pada Sabtu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris berkata, PN akan menggunakan kaedah faraid untuk pengagihan kerusi Parlimen sebagai persiapan menghadapi PRU15 akan datang.

Ini bermakna, parti yang paling lama akan mendapat kerusi terbanyak, sekali gus Pas bakal memperoleh jumlah kerusi tertinggi untuk ditandingi pada PRU15 berbanding parti lain dalam PN.

Tambahnya, setakat ini, perbincangan pengagihan kerusi membabitkan Pas dan Bersatu, serta beberapa parti lain dalam PN, baru memasuki fasa pertama, yang turut meneliti isu pertukaran calon bertanding kali ini.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/strategi-pas-hadapi-pru15-tidak-boleh-didedah-kepada-umum-takiyuddin-292795