Hakikatnya, Pas tak mampu untuk melaksanakan perkara yang pernah mereka desak kerajaan PH laksanakan dahulu terutama hal-hal berkaitan pelaksanaan perkara yang mereka istilahkan sebagai pelaksanaan syariah dalam bidang undang-undang.
Rakan-rakan Pas dalam PN termasuk MCA dan MIC, juga Umno, bukan sehari dua kenal pemimpin Pas. Sesetengah pemimpin dalam PN lebih kenal sepak terajang politik pemimpin Pas berbanding pentaksub Pas sendiri.
Dalam kedudukan PN sendiri sebagai gabungan ahli parlimen bukan gabungan parti politik seperti kata pemimpin Umno, tentulah keberadaan Pas dalam gabungan itu sekadar pencukup bilangan untuk tubuhkan kerajaan pintu belakang atau lubang atap.
Walaupun MCA cuma ada dua kerusi parlimen dan MIC cuma satu, ketiga-tiga kerusi itu begita bernilai kepada Umno dan Pas sendiri. Pemimpin Pas diyakini tidak berani untuk meningkah deheman ahli parlimen Cina dan India itu.
MCA dan MIC tidak berdua-duaan sahaja, tetapi sekutu rapat mereka iaitu Umno tidak mudah melepaskan MCA dan MIC hanya sekadar untuk melayan Pas. Bagi Umno, Pas boleh jadi teman tidur tapi belum terbukti kesetiaannya untuk jadi teman bermimpi.
Ambil contoh isu tutup aurat pramugari. Beranikah timbalan menteri wanita Pas berdepan dengan Umno dan sekutunya untuk mewajibkan pramugari menutup aurat? Isunya di sini bukan isu tutup aurat wajib atau tidak, tapi isu kemahuan politik.
Umno tentu tidak mahu dilihat “terlalu kuat agama” seperti Pas demi menjaga hubungan baiknya dengan orang bukan Islam dalam MCA dan MIC. Sebagaimana Umno berbaik-baik dengan Pas untuk dilihat “Islamik”, parti itu juga perlu dilihat “liberal” untuk tarik golongan bukan Islam dan bukan Melayu.
Justeru jika Pas mahu bertegas dalam isu tutup aurat pramugari, Umno dan sekutunya tak mungkin berdiam diri. Sementelahan pula, adakah pramugari saja yang kena tutup aurat, isteri atau isteri-isteri pemimpin Umno, wanita Umno, Puteri Umno, macam mana pula?
Isu RUU 355 menjadi lebih sensitif. Isu ini bukan sekadar pindaan akta untuk membolehkan hukuman lebih keras dikenakan ke atas pesalah syariah, tetapi turut melibatkan proses penaiktarafan mahkamah syariah dari sudut infrastruktur dan keupayaan anggota kehakiman syariah secara menyeluruh.
Mudahkah untuk mendapat konsensus MCA dan MIC apabila isu ini yang turut terkait dengan kedudukan undang-undang sivil yang melibatkan kepentingan orang bukan Islam? Isunya bukan undang-undang syariah perlu dimartabatkan atau tidak, tapi isu besarnya ialah keutamaan. Adakah isu RUU 355 menjadi keutamaan kepada Umno, MCA dan MIC sehingga kemahuan Pas perlu diturut?
Demikian dengan persoalan pengharaman pertubuhan pendidikan Cina Dong Zong. Orang-orang Cina sangat sensitif dengan isu pendidikan generasi mereka. Dong Zong bukan milik MCA atau DAP, tapi milik orang Cina. MCA tidak begitu mudah akan membiarkan Dong Zong diperkotak-katikkan. Umno juga begitu lantaran kepentingan sokongan politik untuk mereka dalam kalangan orang Cina.
Pas berani? Jangankan bercakap untuk haramkan Dong Zong kecuali semasa mereka menjadi pembangkang. Sekilas Umno menjeling, Pas akan menikus di depan MCA. Cuba lihat apa reaksi Pas apabila pemimpin MCA membuat kenyataan awal tentang kedudukan mereka dalam kerajaan dengan tulisan Cina termasuk oleh Tim Menteri Pendidikan? Ada Pas buat apa-apa reaksi?
Pas tak akan berani meningkah Umno dan MCA, termasuk MIC. Berani Pas haramkan Dong Zong? Berani Pas bawa RUU 355? Berani Pas kritik kerajaan India? Berani Pas tutup sekolah vernakular? Berani Pas laksana hudud?
Pas berani semua itu semasa mereka jadi pembangkang. Itu pun berani bercakap di Padang Merbuk sahaja. Kamu kan kerajaan, tunggu apa lagi?
Sumber :https://www.facebook.com/1284707753/posts/10216562660960722/