Pas sudah tiada dalih lagi untuk laksana agenda Islam – Penganalisis

Pas

Pas sudah tiada dalih lagi untuk laksana agenda Islam. PAS tidak lagi dapat berdalih untuk melaksana agenda Islam yang diperjuangkan parti itu selama ini selepas mendapat jawatan menteri hal ehwal agama, kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, prestasi PAS antara lain akan dinilai melalui kemampuannya untuk melaksana pindaan untuk memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata dengan pelantikan naib presidennya Idris Ahmad ke jawatan itu, PAS tidak lagi boleh memberi alasan tidak berkuasa.

“Dengan pelantikan ini akan jadi penanda aras kepada PAS, kalau dulu bila desak pelbagai isu berkaitan umat Islam orang akan cakap PAS tidak ada kuasa.

“Yang berkuasa (parti) Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) masa itu.

“Tapi sekarang PAS berada dalam kerajaan dan pegang portfolio agama mereka ada kuasa berkait dengan kepentingan umat Islam, sekarang peluang terbuka luas kepada PAS,” katanya.

Selain Idris, seorang lagi muka baharu dari PAS ialah Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilantik timbalan menteri baharu yang mengisi kekosongan kuota PAS.

Ini ekoran bekas menteri Khairuddin Aman Razali dan bekas timbalan menteri Che Abdullah Mat Nawi yang tidak dilantik semula selepas berdepan kontroversi sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Pas

Dua lagi pemimpinnya masih kekal sebagai menteri – Tuan Ibrahim Tuan Man dan Takiyuddin Hassan, selain empat lagi timbalan menteri.

Namun biar apa pun portfolio dipegang PAS, parti Islam itu perlu jelas dengan agenda mereka, kata Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Katanya, kekaburan dasar dan kekurangan pakar untuk membentuk dasar yang nyata antara kelemahan PAS sejak sekian lama yang perlu diperbaiki parti Islam itu apabila memimpin kerajaan.

“Kalau ikutkan, prestasi PAS semasa dalam kerajaan Perikatan Nasional memang kita tak puas hati lah.

“PAS kena jelaskan agenda mereka, macam mana mereka nak laksanakan saya tak nampak perkara itu. Bagi saya, itu kekurangan PAS sekarang ini.

“PAS sekarang ini kurang ahli fikir menyebabkan mereka tak boleh analisis satu perkara dengan betul boleh kata mereka ini terpisah dengan realiti.

“Sebenarnya dalam hukum Islam kita kena ada fiqh tentang realiti, kita faham betul realiti yang dihadapi negara baru boleh datang solusi atau polisi,” katanya.

Kalangan pemimpin PAS pula optimis dengan peluang untuk melaksana agenda seperti Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355.

Ahli Jawatankuasa PAS Kedah Mohd Hilmi Abdul Wahab tidak menolak pelantikan Idris sebagai menteri agama merupakan kejayaan PAS dan perlu melaksana agenda parti,

Mohd Hilmi berkata sudah tentu akar umbi mahu PAS melaksanakan agenda Islam yang diperjuangkan sejak dulu termasuk RUU355 apabila sudah memegang portfolio agama.

“Akar umbi berharap mahu menteri agama laksana agenda Islam dengan selengkapnya termasuk RUU355.

“Namun kami juga tahu biarpun PAS membawa memperjuangkan isu ini tapi kita masih di bawah negara Perlembagaan, yang apa saja undang-undang atau pindaan perlu dibentangkan di Parlimen.

“Dan jika apa yang diusulkan itu ditolak oleh ahli Parlimen, memang PAS tidak boleh buat apa, itu cabaran PAS ketika ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, perubahan seperti itu tidak dapat dilaksana dengan segera.

“Saya rasa tidak adil kalau nak tanya apa perubahan PAS disebabkan tak sampai seminggu pun PAS pegang jawatan ini.

“Tapi yang pastinya ini perjuangan PAS jadi tunggu PAS akan laksanakan apa perjuangannya,” katanya.

Kemampuan PAS untuk melaksana pindaan perlembagaan tersebut berdepan halangan sebaik mula menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Februari tahun lalu.

Ia memaksa timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man terpaksa tampil menjelaskan bahawa PAS menimbulkan desakan berapi-api sebelum ini kerana menjadi pembangkang.

Mengulas kritikan dalam bulan-bulan awal sejak menyertai kerajaan itu, beliau berkata pendekatan PAS kini berbeza kerana usaha seperti itu perlu dilakukan dengan tertib dalam kerajaan.

Idris pula pada Mac lalu memberi jaminan bahawa PAS tidak pernah lari daripada komitmennya dan akan terus memperjuang RUU355 supaya dapat direalisasi.

“Isu RUU355 bukan isu PAS, ia isu umat Islam. PAS hanyalah berusaha untuk ke arah mewujudkan dan memperjuangkan perkara tersebut. Ia bukan soal untuk dipolitikkan,” katanya.

Seterusnya pada November, Marzuk memberitahu Dewan Rakyat, pindaan itu akan dibuat di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen semula.

Pindaan yang mula digerakkan Presiden Abdul Hadi Awang sejak 2016 itu mendapat sokongan Umno sewaktu kerjasama kedua-dua parti mula berputik selepas pilihan raya umum 2018.

Agenda RUU355 itu menjadi modal untuk mempromosi kerjasama itu melalui penganjuran perhimpunan besar yang turut memperkecil kemampuan PH mentadbir Islam.

Ia bagaimanapun tidak mendapat sokongan keseluruhan pemimpin Umno dan turut ditentang MCA, salah satu komponen BN yang menjadi parti tonggak kerajaan pada waktu ini.

Komitmen PAS untuk meningkatkan martabat Mahkamah Syariah itu teruji antaranya dalam satu keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan undang-undang syariah Selangor dicabar.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan pada Mei tahun lalu mendapati peruntukan dalam enakmen berkenaan tidak digubal oleh badan perundangan negeri Selangor secara sah.

Keputusan itu menyebabkan Hadi menggelarkan hakim Mahkamah Persekutuan sebagai “buaya belaan penjajah”.

Kempen PAS antara lain bertujuan menaikkan hukuman maksimum penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan 100 sebatan.

Peruntukan Akta 355 pada masa ini hanya membenarkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Ia dimulakan melalui usul peribadi Hadi sebagai ahli Parlimen Marang yang dikemuka di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016.

Beliau bagaimanapun menangguhkan perbahasan dan membentangkan semula semula pada November 2016.

Hadi kemudiannya membentangkan RUU355 buat kali ketiga pada April 2017 tanpa perbahasan.

Ia tetap tidak berjaya ke Parlimen semula apabila kerajaan pimpinan Muhyiddin terbubar pada bulan lalu. – 6 September, 2021.

Sumber:

BACA: Pesawat TUDM terbang rendah, ini sebenarnya yang berlaku