Pas Selangor puji tawaran Muhyiddin, boleh lunakkan situasi politik

Pas Selangor puji tawaran Muhyiddin, boleh lunakkan situasi politik. Pas Negeri Selangor mengambil pendirian bahawa langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan persefahaman rentas parti untuk bentuk kerajaan bipartisan adalah sesuatu yang baik.

Menurut pesuruhjayanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, ia adalah langkah untuk menurunkan suhu politik negara yang semakin meruncing dan membolehkan PN untuk terus fokus kepada pandemik Covid-19.

“Saya kira apa yang diputuskan oleh pimpinan kita di peringkat negara mungkin satu keputusan yang telah difikirkan baik dan dipersembahkan kepada pemimpin pembangkang dan syaa kira ini telah ditolak oleh mereka.

“Saya kira satu persembahan yang melunakkan kepada keadaan politik pada hari ini yang sentiasa hangat dan diperhangatkan. Itu adalah tawaran yang baik dan ditolak begitu dan saya harap pemimpin kita selepas ini melihat kepada kekuatan tunjang kepada pimpinan kita harus terus diperkasakan,” katanya.

Ahmad Yunus berkata demikian kepada media selepas melancarkan kempen kibarkan Jalur Gemilang menjelang Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2021 ketika di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

Pas

Pas Selangor puji tawaran Muhyiddin, boleh lunakkan situasi politik

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan tujuh tawaran kepada pembangkang untuk memperolehi sokongan terhadap keabsahannya selaku Perdana Menteri.

Ia termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU15) selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.

Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperolehi sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Bagaimanapun, ia ditolak bulat-bulat oleh gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Menurut Majlis Presiden PH, Perdana Menteri sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bercakap kepada media selepas melancarkan kempen kibarkan Jalur Gemilang menjelang Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2021 ketika di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2021.

Mengulas lanjut, Ahmad Yunus turut berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pastinya tidak perkenan dengan apa yang berlaku kepada politik negara kini.

Maka dengan itu, Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sijangkang mencadangkan agar semua pihak terutamanya pembangkang berlapang dada demi menjaga kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

“Pandemik ini bukan main-main, ini sesuatu yang serius dan harus diletakkan sebagai keutamaan. Soal politik memang penting untuk sesebuah negara tapi kita apa maknanya politik kalau habis negara kita dalam keadaan wabak ini menyebabkan kematian lebih ramai.

“Ahli politik kena mainkan peranan kalau sidang yang berlaku pada hari itu untuk membincangkan soal tangani Covid-19 tetapi ini tidak diambil oleh pihak pembangkang saya kira ini kita telah bazirkan masa dan sebagai pemimpin kena fikirkan apa kesudahannya dalam negara kita,” katanya lagi.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/14/tawaran-kerajaan-bipartisan-lunakkan-keadaan-politik-semasa-kata-pas-selangor/

BACA: https://malaysiagazette.com/2021/08/14/tawaran-kerajaan-bipartisan-lunakkan-keadaan-politik-semasa-kata-pas-selangor/