Pas patut sumbang idea bantu bela rakyat, bukan bermain politik

Pas patut sumbang idea bantu bela rakyat, bukan bermain politik

Datuk Seri Saifudddin Nasution semasa berucap kepada penduduk di Bayan Baru semalam.

Kenyataan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir ternyata mampu untuk meredakan beberapa spekulasi yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini terutamanya dalam isu yang dibangkitkan Pas, iaitu undi percaya dan kenyataan bersumpah oleh pihak-pihak tertentu.

Malah kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut sekali gus menunjukkan bagaimana Pakatan Harapan (PH) adalah ‘intact and functioning’ di mana pada 21 Februari akan diadakan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddidn Nasution Ismail ketika ditemui selepas majlis dialog bersama penduduk di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Tegasnya, ini merupakan platform yang betul untuk menyelesaikan apa jua perkara yang berkaitan dengaan PH berdasarkan prinsip saling hormat-menghormati.

“Percubaan pelbagai pihak termasuk Pas yang tidak semena-mena bercakap mengenai usul percaya kepada PM adalah berniat serong dan percubaan untuk mewujudkan keresahan hubungan sesama PH.

“Namun begitu, ternyata usaha tersebut gagal kerana PH terus utuh sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin utama tersebut.

“Tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha kerajaan untuk memperbaiki aspek kehidupan rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak turut berkata, ketika negara sedang diuji dengan wabak COVID-19, kerajaan berhempas pulas menjaga nyawa, kebajikan dan ekonomi rakyat yang telah parah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Walau bagaimanapun ujarnya, tiada langsung usaha maupun syor dan saranan dari Pas bagi membantu kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat tersebut.

“Sejak kalah dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu, ternyata Pas terus bermain politik dan tidak ada satu pun idea yang diberikan oleh mereka untuk membantu kerajaan dari sudut ancaman virus, pemulihan hutang negara yang teruk maupun membetulkan kembali keadilan terhadap skandal-skandal besar dalam negara.

“Saranan sebegini yang sepatutnya dilakukan oleh Pas bagi menyokong kerajaan.

“Mereka juga seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap permasalahan rakyat dan bukannya cuba bermain politik dengan membuat undi percaya sepertimana yang dicanang-canangkan,” tambah beliau lagi.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/pas-patut-sumbang-idea-bantu-bela-rakyat-bukan-bermain-politik/