Pas Melaka anggap Khairuddin dicemburui ramai

Pas Melaka anggap Khairuddin dicemburui ramai

Kepemimpinan Pas negeri menyifatkan terlalu ramai pihak cemburu dengan prestasi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek turut melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pihak yang cuba mencemarkam imej pemimpin sehingga sanggup mengaibkan Mohd. Khairuddin kononnya mempunyai hubungan dengan seorang usahawan wanita terkenal.

Beliau berkata, sikap cemburu itu berpunca daripada rekod cemerlang Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang tidak dikaitkan dengan isu-isu besar berbanding pemimpin parti lain.

“Pas kini berdepan dengan serangan pelbagai pihak terhadap pemimpin tertinggi parti sehingga ada yang sanggup mengaibkan dengan menghebahkan dakwaan tidak berasas.

“Apa yang terjadi ke atas Mohd. Khairuddin sudah membuktikan usaha pihak-pihak tertentu cuba memecah-belahkan pemimpin dan ahli parti.

“Kita seluruh ahli Pas akan pertahankan kebenaran. Kita akan meletakkan kesalahan itu setelah mendapat bukti yang cukup boleh dikaitkan terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tular di media sosial berhubung penahanan Mohd. Khairuddin di sekatan jalan raya (SJR) Perasing, Kemaman, Terengganu pada 16 Mei lalu.

Beliau didakwa bersama seorang wanita dalam sebuah kereta.

Mengulas lanjut, Kamaruddin menambah, kedua-dua pihak yang dikaitkan dengan isu tersebut telah membuat penafian dan laporan polis.

“Prinsip Pas yang didokong sejak dahulu adalah selagi seseorang itu tidak dibuktikan salah, kita tidak boleh tuduh dia bersalah.

“Cuma saya harap pihak yang sebar luas hal Mohd. Khairuddin kena tampil untuk buat kenyataan. Jangan cuba baling batu sembunyi tangan,” tegasnya.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/mohd-khairuddin-dicemburui-ramai-pas-melaka/