Pas masih dilema memilih pasangan, PN atau MN?

Pas masih dilema memilih pasangan, PN atau MN?

Kebanyakan pemimpin utama Pas masih mengunci mulut dan enggan memberi sebarang ulasan berhubung hala tuju parti itu sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beberapa pimpinan tertinggi Pas yang cuba dihubungi tidak memberikan sebarang respons berhubung isu tersebut dan tidak menjawab sebarang panggilan telefon dan mesej Whatsapp yang dihantar Sinar Harian pada petang Khamis.

Politik tanah air kembali panas sejak seminggu lalu dan perhatian kini terarah kepada Pas, susulan surat ‘cerai’ UMNO kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi parti tersebut pada mesyuarat di Janda Baik dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi jawapan ‘selamat’ dengan mengakui, ahli Pas sentiasa menyokong apa juga keputusan yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan parti sama ada mahu bersama PN atau MN.

Ahmad Fahdli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menurutnya, pihaknya bersedia untuk menerima apa jua keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

“Sebenarnya saya tidak boleh komen lanjut, kerana ia melibatkan hala tuju parti untuk PRU-15.

“Setakat ini kita hanya menunggu arahan dan panduan daripada pucuk pimpinan parti dan yakin ahli-ahli di peringkat bawah tiada masalah mengikut arah panduan yang ditetapkan pimpinan tertinggi,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali masih mengulangi ‘tagline’ lama parti Islam tersebut berhubung isu tersebut iaitu Pas kekal memperkukuh MN dan mempertahankan PN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yakin, Pas mempunyai ‘ramuan dan dapur sendiri’ untuk menyatupadukan semua parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam seperti digariskan pemimpin tertinggi parti.

Dalam pada itu, Bersatu yang bermesyuarat malam tadi dilihat masih berhati-hati dalam keputusan mereka walaupun UMNO sudah berkeras memberi kata putus ‘perpisahan’ pada PRU15 nanti.

Bersatu dalam kenyataan malam tadi mengakui memandang serius keputusan UMNO, namun parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kini mahu memberi fokus terhadap kerjasama dengan rakan gabungan PN iaitu Pas, Gabungan Parti Sawarak, Gabungan Bersatu Sabah dan Gerakan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126934/BERITA/Politik/Pas-masih-kunci-mulut-mahu-bersama-PN-dan-MN