Pas mahu buat persempadanan semula jika menang majoriti 2/3

Pas mahu buat persempadanan semula jika menang majoriti 2/3

PAS menyasarkan untuk menguasai dua per tiga Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti agar parti itu – bersama gabungannya – dapat melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menganggap langkah itu untuk menguntungkan “umat ini” anggota Jawatankuasa Pusat PAS Khairuddin Aman Razali menjelaskan laluan untuk mencapai impian itu ialah dengan mereka terus memperkukuh muafakat antara tiga parti Melayu walaupun tugas itu berdepan dengan rintangan.

“PAS melihat keperluan jangka masa panjang untuk memenangi PRU ke-15 dengan majoriti dua pertiga.

“Pada saat itu perubahan sempadan pilihan raya yang menguntungkan Islam Melayu serta pertambahan kerusi parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu boleh diusahakan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial semalam.

Untuk rekod PAS kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat melalui penyertaan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Pada masa sama PAS juga menjalin kerjasama secara rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional. Namun Umno tidak ada hubungan secara rasmi dengan PN malah sudah hampir pasti akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada hujung minggu ini.

Untuk rekod pada PRU ke-14 lalu PAS meletakkan lebih 100 calon di kerusi parlimen dengan sasaran mahu membentuk kerajaan atau sekurang-kurangnya menjadi kuasa penentu (king maker). Namun daripada jumlah itu PAS hanya memenangi 18 kerusi, kebanyakannya di Kelantan dan Terengganu.

Berbanding dengan slogan PAS Untuk Semua seperti sebelum ini, pendirian parti itu sekarang dilihat lebih menekankan kelangsungan golonan Melayu dan Islam.

Untuk membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan, ia mesti mendapat kelulusan dua per tiga anggota Dewan Rakyat atau dewan undangan sesebuah negeri.

Khairuddin berkata untuk merealisasikan matlamat berkenaan, parti terbabit perlu memastikan semua calon mereka berdepan dengan saingan dua penjuru.

Kenyataan anggota parlimen Kuala Nerus itu dilihat ditujukan kepada Bersatu dan Umno yang kini terus berdepan dengan isu hubungan dua hala.

Menurut ulama PAS itu lagi partinya akan terus bersabar bagi mempertahankan muafakat yang sedia terjalin sekarang.

“Untuk itu PAS terus bersabar mempertahankan muafakat umat.

“Marilah kita melihat keuntungan jangka masa panjang untuk umat ini,” katanya yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/567700