PAS menyifatkan pendekatan BN keluar daripada tradisi dengan tidak meletakkan calon MIC untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sebagai langkah berani.
Memetik sumber malaysiakini Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana parlimen itu adalah kerusi tradisi MIC dan langkah BN meletakkan calon Orang Asli memberi kelebihan kepada parti itu mengekalkan kemenangan.
“Ini satu langkah berani yang diambil oleh BN sebab itu kerusi tradisi MIC, dan disebabkan MIC ada terlibat dengan salah laku pilihan raya kalau letak calon MIC juga bererti kita menghantar isyarat yang salah kepada pengundi.
“Saya fikir ia cuba menghilangkan imej salah laku dalam pilihan raya oleh MIC. Dengan meletakkan calon lain ia salah satu langkah yang tepat dan ada peluang untuk menang,” katanya.
Terdahulu, BN mengumumkan bekas pegawai polis yang juga Orang Asli daripada suku Semai, Ramli Mohd Nor sebagai calonnya untuk berdepan calon PH M Manogaran pada 26 Januari nanti.
PAS yang memilih untuk tidak bertanding bagaimanapun menyatakan sokongan kepada BN, malah akan turun berkempen selepas penamaan calon 12 Januari ini.
Mengulas mengenai pendekatan BN mengetengahkan calon bukan di kalangan ahli atau pimpinan Umno, Tuan Ibrahim berkata, ia mungkin satu langkah untuk tidak membebankan calon dengan kesilapan lampau parti itu.
“Kalau ambil calon daripada pimpinan Umno mungkin sentimen tersebut masih ada.
“Tetapi ia ambil calon Orang Asli dan bukan orang politik. Jadi ini satu percubaan baru, kita boleh tengok macam mana nanti,” katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.
Datuk Tuan Ibrahim turut menjangkakan BN mempunyai peluang lebih cerah untuk mengekalkan kerusi itu sekiranya pertandingan melibatkan satu lawan satu.
Pada PRU14 lalu, katanya, PAS berjaya meraih lebih 3,000 undi di kawasan itu dalam situasi pertandingan lima penjuru.
“Dari segi majoriti pengundi adalah hampir seimbang, cuma pengundi Melayu lebih sikit.
“BN berpeluang untuk dapatkan sokongan daripada masyarakat Orang Asli, Melayu, sebahagian sedikit daripada kaum India dan Cina.
“Dijangka kalau satu lawan satu, BN berpeluang lebih cerah untuk mengekalkan kerusi itu, ” ujarnya.
Tambah Tuan Ibrahim, pengundi Cameron Highlands juga diharap dapat menghantar isyarat kepada PH dengan pelbagai isu melanda kerajaan pada hari ini.
“Kalau kita tengok dalam isu yang berlaku pada PH sekarang pun (banyak) seperti gagal menunaikan manifesto, janji kepada orang muda, dan isu harga barang tak turun walaupun tanpa GST.
“Itu antara (isu) yang dianggap kegagalan bagi PH,” jelasnya.