PAS kerah pengundi sokong BN di Cameron Highlands

PAS Pusat masih belum mengeluarkan arahan rasmi agar anggota parti itu turun berkempen membantu calon pembangkang pada piliharaya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata bagaimanapun parti itu tidak menghalang anggota parti yang berhasrat untuk turun membantu di PRK itu.

Menjawab soalan PAS menyokong calon Barisan Nasional semasa hari penamaan calon, beliau berkata ia hanya menunjukkan sokongan moral kepada calon dan tidak lebih dari itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Pusat Pengajian Pondok Kandis dengan Universiti Ez-Zitouna, Tunisia di sini, hari ini.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November lalu memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) batal kerana rasuah.

PRK Cameron Highlands yang akan berlangsung pada 29 Jan ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara M Manogaran dari Pakatan Harapan, calon Barisan Nasional Ramli Mohd Nor dan dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Pada masa sama Mohd Amar berkata PAS mahu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaaan Sivarraajh berhubung dakwaan pemberian rasuah kepada masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

Katanya ia berikutan berita mengenai pemberian rasuah terbabit sudah menjadi viral.

“Kita pun kesian kepada Orang Asli… RM20 saja dapat… tak cukup nak bayar minyak pun..,”  katanya.