Pas junjung kasih titah Agong, tetap puas hati dengan usaha kerajaan PN tangani Covid-19

Pas junjung kasih titah Agong, tetap puas hati dengan usaha kerajaan PN tangani Covid-19

Pas menjunjung tinggi titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, parti itu yakin titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Tuan Ibrahim juga menjelaskan, Pas juga menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong berhubung mempercepatkan pemberian vaksin serta pentingnya memiliki kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Pas melihat perkara ini adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan ketika ini.

“Pas yakin dengan usaha dan komitmen kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.

“Ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini. Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Pas melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jummat.

Beliau juga berkata, Pas menyanjung tinggi titah pandangan Seri Paduka yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking
supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak ini dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak ini.

Tuan Ibrahim berpendapat keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan seluruh Duli-Duli Raja-Raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak COVID-19.

Pada 16 Jun lalu, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pas-yakin-titah-agong-berhubung-sidang-parlimen-selaras-komitmen-kerajaan-303789