Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat keputusan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Pas-Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, sama ada bergabung atau bergerak secara bersendirian, perkara tersebut masih belum diputuskan.
Namun, beliau menegaskan bahawa partinya tidak akan sesekali bergabung dengan PH.
“Keputusan bergabung terlalu awal. Dengan PH, saya ‘go flat’. No way. Saya tak masuk Bersatu pun kerana Bersatu menyaluti PH bersama DAP.
“Bergabung dengan Pas-Umno pun belum tentu lagi kerana kita ada sebabnya. Jadi kita bawak diri lah. Untung sabut kita timbul, Untung batu kita tenggelam,” katanya kepada Malaysia Dateline .
Dalam pada itu, beliau berkata, Putra akan menumpukan proses penubuhan cawangan parti itu sebelum membuat apa-apa usul tentang pendirian parti.
“Biar kita selesaikan dulu proses pnubuhan cawangan. Kita ada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), lepastu kita bentang usul-usul dan biarlah persidangan agong (Parti) menentu pendirian Putra dalam PRU15 sebab saya tak buat keputusan sendiri,”ujarnya.