Parlimen bersidang : Tiba masa selesaikan isu keabsahan kerajaan PN – Salahuddin

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menggesa Parlimen kembali bersidang supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat diselesaikan secara muktamad.

Beliau berkata, gabungan kerajaan itu sepatutnya tidak lagi menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk menunda kejatuhan kerajaan, yang menurutnya pasti akan berlaku.

Bercakap pada forum dalam talian malam tadi, beliau berkata, isu keabsahan kerajaan PN dan pengurusan krisis Covid-19 adalah dua agenda yang berasingan dan tidak boleh dikaitkan bersama-sama.

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung di bawah pelaksanaan perintah darurat yang diisytiharkan pada Januari.

Menurut kerajaan langkah itu perlu bagi mengawal pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong berkata minggu lepas bahawa darurat tidak membatalkan persidangan Parlimen.

Salahuddin berkata, pengurusan pandemik itu akan tetap dilakukan secara sistematik tanpa mengira sama ada pilihan raya baharu diadakan atau tidak, atau parti mana yang membentuk kerajaan.

“Katakanlah Parlimen kembali bersidang untuk mengesahkan keabsahan PN, kemudian katakan, misalnya, PN jatuh dan kerajaan baharu mengambil alih.

“Bukankah menteri kesihatan yang baharu boleh menangani isu Covid-19? Atau tidakkah perdana menteri baharu dapat memastikan vaksin sampai ke negara ini? Tidakkah menteri baharu boleh menjalankan tugas?

“Jangan berkumpul di depan pintu istana atau gunakan Covid-19 sebagai alasan,” katanya mengenai keperluan mengadakan pilihan raya umum pada 2021.

Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan keabsahan kerajaan PN sejak ia ditubuhkan pada Mac tahun lalu selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin Yassin kerana mendapat sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Namun, sokongan majoriti gabungan PN dipersoalkan selepas beberapa Ahli Parlimen Umno berkata akhir tahun lalu, mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Salahuddin berkata, PN hanya mendapat sokongan 109 Ahli Parlimen, kurang tiga kerusi majoriti dalam 222 ahli Dewan Rakyat.

“Sebenarnya, sudah tiada lagi kerajaan. Ia sudah tumbang,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/27/masa-untuk-selesaikan-isu-keabsahan-kerajaan-pn-di-parlimen-kata-salahuddin/

COMMENTS

Wordpress (0)