Pelbagai pihak yang mempunyai autoriti harus mengambil perhatian serius dalam menangani isu paparan lambang salib di bangunan Grace Residence Jelutong agar ia tidak dipolemikkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Paparan lambang salib itu telah menimbulkan kebimbangan khususnya umat Islam di negeri ini.
Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Taufek Abd Rahman ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.
Katanya isu ini hangat diperkatakan sehinggakan mendapat respon pro dan kontra dari pelbagai pihak berkuasa dan kerajaan negeri.
“Ketua Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri maupun Mufti Pulau Pinang telah pun memberi pandangan masing-masing.
“Semuanya ternyata menjurus kearah kehidupan yang harmoni dan mengharapkan ia dapat diatasi dengan secepat mungkin.
“Adalah lebih baik bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, ” tegasnya.
Beliau juga berkata, nasihat dan rundingan dengan pemaju terutamanya mengenai pencahayaan pada waktu malam itu adalah perlu dilaksanakan dengan segera.
“Masih punya kesempatan untuk memperbetulkan keadaan dan belum terlambat.
“Oleh kerana itu semua pihak yang terlibat harus peka dan tidak lalai mengenai sensitiviti umat Islam sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dikalangan masyarakat, ” tambahnya lagi.
Berita Asal: https://malaysiadateline.com/autoriti-ambil-perhatian-serius/