Panas !!! Sumber dedah DSP dan ASP rupanya adalah tali barut Geng Nicky

Panas !!! Sumber dedah DSP dan ASP rupanya adalah tali barut Geng Nicky

Deputi Superintenden Polis (DSP) dan Asisten Superintenden Polis (ASP) antara kira-kira 34 nama anggota dan pegawai polis yang telah dikenal pasti menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang diketuai ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Turut dikenal pasti bersekongkol dengan penjenayah Geng Nicky membabitkan beberapa pegawai polis berpangkat inspektor dan pangkat rendah koperal serta lans koperal.

Lebih mengejutkan, mereka yang disyaki tersebut bertugas di sebuah jabatan polis di Bukit Aman selain turut dipercayai terlibat dengan kartel Polis Diraja Malaysia ( PDRM) seperti didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid baru-baru ini.

Sumber berkata, kumpulan kartel ini rupanya bukan hanya melindungi Geng Nicky, malah mereka juga dipercayai menjadi petualang yang bersubahat, bersekongkol dengan beberapa sindiket jenayah terancang lain di negara ini.

Geng penjenayah lain turut dilindungi kumpulan polis tersebut ialah Geng Addy Kanna dan Geng Alvin Goh selain Geng Wan Padang Besar,Geng Paksu Kayu Hitam dan Geng Tiger 99 (AYT 99).

“Setakat ini, seorang berpangkat DSP dan dua ASP ini antara lebih 10 polis yang sudah dimasukkan dalam senarai untuk siasatan. Namun akan ada pegawai kanan tinggi lain akan turut dimasukkan dalam senarai tersebut,” kata sumber itu semalam.

Sementara itu, di Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang akhbar beliau semalam memberitahu, senarai nama pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan Geng Nicky tidak akan didedahkan.

Ketua Polis Johor itu berkata, tindakan yang akan diambil terhadap pegawai dan anggota polis yang dikenal pasti terlibat dengan geng penjenayah itu akan dibuat di mahkamah kerana terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.

Ayob Khan tidak menolak kemungkinan terdapat ramai lagi pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan Geng Nicky ditahan selepas ini.

“Tunggu dan lihat, yang pasti akan lebih ramai (terbabit dengan Geng Nicky), bukan setakat 34 (pegawai dan anggota polis) sahaja. Kes ini semakin berkembang.

“Saya juga tidak akan mendedahkan senarai nama berkenaan. Kita akan ambil tindakan di bawah jenayah terancang,” katanya.

Menurut beliau, keutamaan mengenakan tindakan tatatertib ke atas tali barut ini adalah pilihan terakhir.

“ Saya tidak akan serah (senarai nama) pada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk ambil tindakan. “Kita masih kemas kini kertas siasatan, Insya-Allah bila sudah lengkap nanti, kita akan buat tangkapan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, JIPS Bukit Aman memaklumkan masih menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis yang didakwa bersekongkol dengan Geng Nicky.

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya memerlukan senarai nama itu daripada polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

Pada 30 Mac lalu, Abdul Hamid mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk polis terlibat melindungi jenayah Geng Nicky.

Kesemua individu berkenaan dikesan bergaul selain menjadi ahli serta membantu kumpulan jenayah terancang tersebut selepas menerima suapan.

Dalam pada itu, akhbar melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan Polis Kontinjen Johor dalam serbuan di Setia Walk, Puchong, menyebabkan Nicky berjaya melarikan diri.

Dalam 70 serbuan Op Pelican 3.0 di Lembah Klang dari 20 hingga 28 Mac lalu, 118 individu diperiksa dan 68 ditahan, manakala wang tunai lebih RM770,000 dirampas.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/nasional/2021/04/dsp-asp-dikenal-pasti-terlibat-geng-nicky/